Isu kesuburan dan zuriat adalah perkara yang sangat sensitif bagi seorang perempuan apatah lagi dalam rumah tangga. Mana-mana wanita yang mengalami masalah kesuburan bukan hanya rasa hilang harga diri tetapi juga membawa pada keruntuhan rumah tangga.
Pemilik akaun Facebook, Emma Villa berkongsi gambar tangkap layar pendedahan seorang wanita mengenai pengalamannya ketika menghadiri kursus pra-perkahwinan.
Menurut pemilik kisah berkenaan, ada seorang ustaz yang ketika itu memberikan ceramah menyarankan kepada peserta lelaki agar terlebih dahulu memastikan bakal isteri mereka mampu memberikan zuriat atau sebaliknya. Andai bakal isteri mempunyai masalah kesuburan maka hantaran pihak lelaki juga adalah atas budi bicara mereka.
Kata-kata penceramah berkenaan seperti menggambarkan bahawa kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga itu sepenuhnya bersandarkan pada kemampuan wanita melahirkan zuriat semata-mata. Kenyataan itu juga seolah-olah meletakkan kesalahan hanya di bahu wanita andai pasangan suami isteri gagal menimang cahaya mata.
Perkongsian berkenaan menarik perhatian pengguna Facebook yang lain. Rata-rata, ramai yang tidak berpuas hati dengan kenyataan ustaz berkenaan.
Lebih mengecewakan ustaz tersebut menyentuh isu kesuburan tanpa memberikan nasihat apa yang perlu dilakukan seandainya pasangan suami isteri berhadapan ujian seperti itu.