Bercakap mengenai poligami, banyak kisah tular menceritakan kepahitan dan kesengsaraan yang dilalui sepanjang tempoh berkongsi kasih.
Walaupun ada yang rela dan ikhlas bermadu, malah meminang sendiri wanita berkenaan buat suaminya, tetap saja ramai beranggapan bahawa isteri pertama hanya pura-pura gembira.
Perkongsian Isa yang menggunakan nama akaun Sifugsa7 di TikTok mengenai perkahwinan keduanya mengundang berbagai persepsi dari pengguna aplikasi berkenaan.
Mempunyai lima anak hasil dari perkahwinan pertama, lelaki itu memuat naik beberapa koleksi video memaparkan perkahwinan kali kedua itu,
Berdasarkan paparan video, istri kedua Isa dipinang sendiri oleh isteri pertamanya, Roslinda Hussin. Malahan, wanita itu juga sama sekali tidak kelihatan kekok ketika menghadiri majlis perkahwinan suami dan madunya.
Menerusi salah satu video yang dikongsikan bagi membalas semula komen seorang warga maya yang mengatakan raut wajah isteri pertama menunjukkan kesedihan, Roslinda bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyatakan keseronokan kerana keluarga bertambah meriah.
"Kenapa nak kena sedih? Best tau, ada kawan lagi. Lagi pun keluarga bertambah, bila dah bertambah lagi meriah. Nanti nak dapat baby lagi. Tak sabar nak dapat baby," katanya.
Walaupun Roslinda mengakui dia ikhlas hidup bermadu namun warga maya masih berbelah-bahagi. Ada yang mendoakan kebahagiaan keluarga itu dan ada juga yang simpati dengan nasib isteri pertama.
Ada juga yang bertanyakan punca Roslinda mencari isteri baharu untuknya namun Isa sendiri tidak tahu sebabnya.