Ruang hidupnya yang selama ini kosong kini terisi dengan kehadiran wanita bergelar isteri, Ezza Yusof pada 21 Ogos tahun lalu.
Justeru, kehadiran 2022 disambut ceria pelakon Remy Ishak, 39, yang sudah merancang pelbagai agenda dalam hidupnya. Menjangkau tempoh 16 tahun dalam industri seni, kerjaya Remy semakin sukses apabila berjaya memiliki syarikat produksi sendiri. "Untuk tahun ini saya ada beberapa projek drama dan filem yang akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat. "Sekarang saya terbabit dalam penggambaran drama 40 episod berjudul Jangan Menangis Cinta adaptasi dari novel Siti Rosmizah terbitan Astro. Selepas ini saya akan masuk set filem aksi terbitan Astro Shaw. Filem Harum Malam lakonan saya arahan Dain Said akan ditayangkan tahun ini," katanya.
Remy kini mempunyai dua syarikat produksi iaitu Remy Films dan Riimagine Works Sdn Bhd sebagai perancangan untuk tahun ini.
"Saya selesa bekerja di belakang tabir dan kalau boleh saya hanya nak jadi penerbit dan pegang watak sampingan dalam drama atau filem produksi saya. "Untuk mengarah, biar mereka yang lebih layak mengisi jawatan ini. Saya tak nak dikatakan tamak buat semuanya. "Alhamdulillah, saya baharu siapkan telefilem untuk RTM. Untuk filem pula, saya akan umumkan menerusi sidang media apabila sudah siap nanti," katanya.
Pemenang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) menerusi filem Sangkar ini berkata, menubuhkan syarikat produksi sendiri adalah pilihan terbaik yang dibuat berbanding terbabit dengan perniagaan lain sebelum ini. "Selepas banyak juga terbabit dalam bidang perniagaan lain yang bukan hiburan, saya sering juga kecundang kerana bukan bidang saya. "Saya nak mencuba, tapi kena akur ia sebenarnya bukan bidang saya. Rasanya hiburan adalah bidang saya dan saya fokus kepada itu saja. Adalah lebih bagus kerana selama lima hingga enam tahun buat perniagaan lain, saya lebih cenderung kepada hiburan," katanya. "Itu bukan bidang saya. Memang saya rugi dan tiada untung. Harapnya produksi ini ada bawa keuntungan kepada saya," katanya.
Mengulas kehidupan rumah tangganya, Remy berkata, Ezza seorang usahawan dan agak sibuk dengan perniagaannya. "Jadi, saya dengan dia lebih banyak tertumpu kepada karier. Lagipun perhubungan saya dengan dia selama lapan tahun adalah sangat biasa. Bidang perniagaan kami berlainan dan misi juga berbeza. "Saya tak ganggu perniagaan dia dan dia pun tak ganggu perniagaan saya. Kadang-kadang kami tak berjumpa kerana waktu kerja berbeza. "Dia pun banyak habiskan masa di pejabat. Dia pengarah kreatif untuk produknya dan banyak habiskan masa untuk perniagaan. Saya pula sibuk dengan pasukan saya," katanya.
Remy berkata, dia kurang selesa membawanya ke mana-mana majlis, namun menyokong penuh perniagaan isterinya. "Biar orang kenal saya saja. Saya beri sokongan penuh terhadap produknya supaya orang kenal, tapi bukan kerana dia isteri saya," katanya. Dalam pada itu, Remy sekali lagi terpilih sebagai juri program The Masked Singer Malaysia musim kedua yang bersiaran bermula 28 Januari ini di saluran Astro Warna HD.
"Musim ini sangat menyeronokkan. Saya sebenarnya pelakon. Bila dipanggil untuk musim pertama mulanya saya gementar juga. Tapi, bila dah bersama dengan semua, mereka gila-gila dan selepas tiga, empat minggu bersama mereka dalam musim pertama, baru saya tahu bagaimana rentaknya. "Maknanya saya tak boleh jadi Remy Ishak. Saya kena bergembira dengan mereka dan program ini. Ia bukan program untuk uji kepandaian, hanya program hiburan untuk seisi keluarga. Main teka-teka, jadi tak payah nak serius sangat," katanya. Dia mengakui berasa lebih relaks dan tenang serta program ini mewujudkan satu sisi yang baharu dalam hidupnya. "Saya kini jadi lebih ceria dan lebih suka berkongsi pandangan. Sebelum ini saya simpan kalau nak kongsi apa-apa, tapi sekarang kongsi saja. Tiada apa yang nak disembunyikan lagi,"katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|