Gara-gara parkir kereta miliknya digunakan orang lain, pelawak llya Buang, 54, disaman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana meletakkan kereta di tepi jalan.
Terdahulu, Ilya atau mesra disapa Pak Ya melahirkan perasaan kecewanya dengan apa yang berlaku menerusi perkongsian hantaran di media sosial. Ilya yang dihubungi Harian Metro berkata, dia sudah pun berurusan dengan pihak pengurusan di kediamannya bagi menyelesaikan perkara berkenaan. "Mereka kata nak tarik dengan trak tunda tapi masalahnya, trak tunda pula tak dapat nak masuk sebab tempat parkir di kediaman ini rendah.
"Sebelum ini saya dah cakap dengan mereka, kenapa tak semak nama pemilik kereta itu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tak tahulah sama ada mereka buat atau tidak? "Benda ini (nak kenal pasti pemilik kereta) kalau mereka berurusan dengan JPJ mesti boleh kesan. Sudahnya, saya pula yang perlu parkir di tepi jalan dan kena saman oleh PBT," katanya lagi.
Ilya berkata, bagaimanapun dia menganggap mungkin kereta terbabit kepunyaan penghuni di kediaman itu juga, namun tersilap parkir di lot miliknya. "Untuk masuk tempat parkir ini perlukan pas sendiri juga. Mungkin, dia ada dua kereta, namun saya tak tahulah apa tindakan lanjut daripada pihak pengurusan. "Tapi mereka janji, semalam adalah hari terakhir untuk tarik kereta itu tapi saya tengok masih ada lagi. Sebab kalau dah tarik, pasti pihak pengurusan kediaman akan hubungi saya untuk makluman.
"Saya boleh saja keluarkan kereta itu. Tapi, adakah pihak pengurusan akan bayar jika saya pecahkan tingkap kereta untuk tarik brek tangan?," katanya. Dia bagaimanapun masih bersangka baik sekiranya betul pemilik kereta terbabit tinggal di situ, mungkin individu berkenaan tersalah parkir. "Macam saya kata, mungkin juga dia ada dua kereta sampai tak ambil tahu mengenai kereta yang diparkir itu adalah di tempat saya," katanya. Menerusi hantaran dibuatnya, Ilya turut memaklumkan pihak pengurusan kediaman sudah pun kapit tayar kereta terbabit dan pemilik kenderaan harus membayar denda RM50.
Berasakan bayaran denda dikenakan pihak pengurusan seakan tidak berbaloi, Ilya juga menegur sinis dalam hantaran yang ditulisnya. "Huntung le (Untunglah) dia, parking (parkir) berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan di parking lot teman (saya) cuma bayor (bayar) RM50 je (saja). "RM50 tu pula bayor (bayar) kat pihak pengurusan, bukan kat teman (saya). Kereta teman (saya) pula kena saman dengan majlis bandaraya (PBT) sebab parking tepi jalan. Camane ek,"? soalnya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|