Sikap segelintir pelakon yang mengambil banyak tawaran berlakon hingga berlaku pertembungan jadual penggambaran dilihat menyusahkan syarikat produksi.
Tindakan mereka itu dilihat seperti mementingkan diri hingga menyusahkan penolong pengarah untuk menyusun jadual penggambaran. Penerbit, Fadzil Teh berkata, perkara inilah yang selalu dihadapi kebanyakan syarikat produksi. "Mereka yang pegang watak hero dan heroin ambil 'job' (tawaran berlakon) sana sini. Akhirnya susahkan produksi susun jadual," katanya yang juga penerbit Zeel Productions. Katanya, ada pelakon yang suka berjanji untuk memberikan jadual awal jika terbabit dengan penggambaran lain. "Inilah yang banyak produksi hadapi masalah sekarang terutamanya yang pegang watak hero dan heroin. Mereka ambil tawaran berlakon yang banyak sedangkan drama di sini belum habis. Janji sana janji sini. Bila tanya alasan diberi sudah berikan jadual awal. "Ada pula jenis yang berikan tarikh itu ini sedangkan mereka sepatutnya ikut tarikh penggambaran kita. Kasihan kepada penolong pengarah dan pengurus produksi. Patutlah banyak orang tak mahu kerja di syarikat produksi lagi. "Kadang-kadang malas nak bising, jadi telan saja selagi boleh. Jerit sana, jerit sini nanti kita masuk wad pula. Pada yang buat hal tu tunggulah 2022 tak perlu harap nak lalu batang hidung pun tiada," katanya. Terdahulu, pelakon Fauziah Nawi mempersoalkan perkara sama apabila tugas penolong pengarah dilihat asyik membetulkan jadual penggambaran pelakon. "Adakah penolong pengarah kerjanya asyik betulkan jadual sebab nak melayan segelintir pelakon kegemaran? Atau asyik kena tunggu skrip yang datang sikit-sikit? Akhirnya asyik kena buat jadual selepas balik penggambaran 18 jam semata-mata nak pastikan penggambaran berjalan lancar?" tulisnya di Facebook. Sementara itu, pengarah Shahrulezad Mohameddin turut berpendapat sama. "Ya, tekanan. Stesen TV pula tak nak mengalah. Kalau nak tu, dia nak tu juga. Macamlah Remy Ishak tu ada klon 10 orang dalam Malaysia ni," katanya. -CARI Sumber: mStar Online
|
ADVERTISEMENT