|
Pasangan penyanyi, Bad Indigo dan Ashira Aziz menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) di sesi penyerahan yang berlangsung di kediaman mereka di Puchong.
Bad meluahkan rasa syukur dan terima kasihnya atas sumbangan yang diberikan oleh pihak Kopetro itu. "Alhamdulillah, ini adalah rezeki buat kami sekeluarga. Pada awalnya, saya pun dah tak terlalu berharap dengan hadiah pakej percutian yang ditaja sepenuhnya oleh pihak Kopetro, yang diberikan ketika rakaman Gegar Vaganza Raya (GV Raya) sekitar awal tahun lalu.
"Sebabnya, kerana kami suami isteri faham mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk pelancongan dan sebagainya. Ditambah pula dengan keadaan kesihatan saya sekarang. Tapi, rezeki buat kami apabila hadiah itu ditukarkan kepada wang tunai," katanya kepada Harian Metro. Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya, Bad berkata, dia berada dalam keadaan baik dan sentiasa berfikiran positif walauoun diduga dengan pelbagai ujian. "Alhamdulillah, semuanya okay. Saya okay, cuma perlu biasakan diri untuk menggunakan 'walker' untuk membantu saya berjalan memandangkan hanya sebelah kaki saya yang boleh digunakan," katanya. Mengikut perancangan asal, Bad dan Ashira sepatutnya ke Langkawi untuk bercuti dan berbulan madu selama empat hari tiga malam dan ditaja sepenuhnya oleh Kopetro Travel & Tour, anak syarikat Kopetro.
|
ADVERTISEMENT