Ottawa: Seorang bayi yang belum dilahirkan dikesan di dalam hati seorang wanita menjadikan ia kejadian paling pelik dalam sejarah perbidanan.
Kes ini didedahkan pakar pediatrik Michael Narvey yang bertugas di Institut Penyelidikan Kanak-Kanak Manitoba di Kanada, seperti dilapor Daily Mirror. Pendedahan itu dibuat menerusi aplikasi TikTok, baru-baru ini, ternyata mengejutkan netizen. "Saya melihat sendiri seorang wanita berusia 33 tahun datang untuk mendapatkan rawatan selepas berlaku pendarahan selama 14 hari. "Kejadian ini berlaku selepas 49 hari wanita terbabit tidak mengalami haid. "Apa yang ditemukan adalah bayi di dalam hati, dan ini kejadian yang sangat pelik dalam sejarah perbidanan.
"Kebiasaannya ia berlaku pada bahagian abdomen, namun kali ini dikesan di hati," katanya. Video yang disiarkan itu ditonton lebih sejuta kali menyebabkan ramai yang bingung dengan kejadian berkenaan. Seorang pengguna media sosial berkata, dia berharap ibu bayi ini dalam keadaan baik dan ia menjadi berita yang mengejutkan. "Saya seakan tidak percaya kejadian seumpama ini boleh berlaku dan bagaimana rapuhnya 'telur' sehingga boleh berada di dalam hati," soal seorang lagi netizen. Kejadian itu berlaku selepas telur yang disenyawakan membentuk janin di luar rahim walaupun kebiasaan proses itu berlaku di dalam tiub fallopio. Di United Kingdom, dianggarkan satu daripada 90 kandungan akan berlaku kejadian pelik dalam tempoh setahun. Ini berlaku apabila telur bergerak ke laluan yang salah di bawah saluran tiub fallopio dan di luar kawasan abdomen. Kejadian ini begitu jarang berlaku dengan persenyawaan di atas abdomen atau hati. Menurut laporan pakar bedah, ibu yang mengandung boleh diselamatkan, namun tidak pada kandungannya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT