Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) mengumumkan akan membenarkan pesakit mendapatkan pil pengguguran melalui penghantaran mel sekali gus menamatkan syarat yang memerlukan mereka mengambil sendiri pil tersebut, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Perkara itu diumumkan ketika Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) dijangka menghapuskan undang-undang berkaitan hak pengguguran yang dilaksanakan sebelum ini. Ia adalah susulan isu penguatkuasaan undang-undang yang mengharamkan aktiviti pengguguran seperti dilaksanakan Texas pada 1 September lalu.
Larangan Texas itu mencetuskan ketegangan dan tunjuk perasaan dalam kalangan wanita yang menuntut supaya mereka diberikan kebebasan memilih sama ada untuk melakukan pengguguran atau sebaliknya. “Keputusan FDA untuk menghapuskan syarat yang tidak perlu seperti ini adalah tepat pada masanya,” kata peguam Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU), Julia Kaye dalam satu kenyataan. Pengguguran secara perubatan, di mana proses kehamilan itu ‘ditamatkan’ menerusi pengambilan dua biji pil telah menjadi pendekatan lazim dalam aktiviti pengguguran bayi. Wabak Covid-19 sebelum ini mendorong aktivis-aktivis hak pengguguran memohon arahan mahkamah agar FDA menghapuskan peraturan yang mengharamkan pesakit mendapatkan pil menerusi penghantaran mel. Pada April lalu, pentadbiran Presiden Joe Biden secara sukarela menghapuskan larangan tersebut bagi sepanjang tempoh pandemik, dan dalam masa sama, memberitahu bahawa ia sedang menilai semula peraturan tersebut. “Covid-19 mewujudkan eksperimen semula jadi yang menunjukkan bahawa tiada sebarang alasan perubatan yang memerlukan pesakit datang sendiri ke klinik untuk mengambil ubat,” kata Pengarah Projek Perluasan Akses Pengguguran Perubatan, Kristen Moore. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT