|
Jika sebelum ini Chazynash terkenal dengan video parodi, kini personaliti media sosial itu berkolaborasi dengan penyanyi dan penulis lagu, Dani Kurama untuk hasilkan sebuah single balada pop.
Menurut Syed Fernarsh Syed Badlishah atau lebih dikenali sebagai Chazynash, 32, dia sudah lama berminat dalam bidang nyanyian dan tiba masanya untuk tampil dengan karya yang lebih serius. Lagu berjudul Jika Aku Pergi yang diterbitkan oleh Rocketfuel Indie Space Station merupakan gabungan idea Chaznynash dan Dani Kurama. “Mungkin ramai di luar sana lebih mengenali saya sebagai personaliti media sosial dengan video-video viral yang saya hasilkan bersama isteri, namun minat menyanyi itu sebenarnya telah lama wujud.
“Sebelum ini, saya ada menghasilkan beberapa buah lagu namun kebanyakannya berbentuk parodi. Sehinggalah saya bertemu Dani Kurama, dan kini saya yakin masanya sesuai untuk muncul dengan sesuatu yang lebih serius,” kata Chazy kepada mStar.
Sementara itu, Dani Kurama sudah lama menceburi bidang muzik sejak dibangku sekolah dan sering menghasilkan lagu-lagu secara suka-suka di laman YouTube. Karyanya juga pernah mendapat kritikan dari warganet yang mempertikaikan bakatnya, sehinggalah single sebelum ini mendapat sambutan luar jangkaan dan terus menjadi tular di laman media sosial.
"Muzik sememangnya sudah sebati dalam diri saya dan saya tak peduli dengan apa orang kata kerana yang penting niat saya ikhlas dalam menghasilkan sesuatu. Setiap karya yang saya ciptakan dekat di hati kerana ada kaitan dengan kisah peribadi. “Single Jika Aku Pergi menceritakan tentang sepasang kekasih yang bercinta tetapi kecundang di tengah jalan kerana teman wanitanya tiba-tiba berubah hati dan beralih ke lelaki lain yang jauh lebih kaya dan berjaya dalam hidup.
“Namun, bekas teman lelakinya itu tetap mencintai dan merinduinya walaupun telah berpisah dan hanya mampu berdoa serta mengharapkan yang terbaik dari jauh," katanya. Selain bertindak sebagai penyanyi bersama, Chazy juga turut mencurahkan idea kreatifnya dengan mengarahkan video muzik (MV) single Jika Aku Pergi kerana pengalamannya dalam menghasilkan video-video sebelum ini.
Single berdurasi selama 4:18 minit ini dimulai dengan tempo yang perlahan namun bertenaga dan kemudiannya beralih rancak dengan bunyian ‘trap’ moden yang menghiasi keseluruhan lagu tersebut. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|