Kabul: Jari tangannya terketar-ketar kesejukan. Suhu sekitar bandar Kabul di sini, jatuh serendah 1 darjah celcius. Kedinginan dirasai benar-benar menghiris hingga ke tulang.
Tiada apa yang mampu dijamah Azizul Laghman, 50, sekeluarga untuk mengisi perut selain roti keras 'dodai' dan air teh kosong. Lima anaknya turut kelaparan namun dia tiada upaya untuk membeli makanan berikutan hanya bekerja sebagai buruh harian dengan gaji sekitar 250 Afghani sehari (RM13 sehari). Bagaimanapun dia bersyukur apabila namanya terpilih sebagai penerima bantuan bakul makanan sumbangan Muslim Care Malaysia (MCM) di kawasan penempatan Pulicharkhi di sini.
Dia adalah antara 300 keluarga daif yang menerima bantuan tepung gandum, minyak masak, beras dan pelbagai makanan lain hasil sifat dermawan rakyat Malaysia. Azizul berkata, keperitan hidup dialaminya bertambah rumit apabila isteri disahkan menghidap sakit jantung. "Malah salah seorang anak saya cacat apabila tangannya putus akibat tersepit mesin ketika berkerja di kilang," katanya buntu memikirkan nasib malang dialami. Sementara itu seorang lagi penerima, Sayed Yahya, 48, mendakwa kebuluran sejak tiga hari lalu selepas tidak mampu membeli makanan untuk isteri dan tiga anaknya. Dia yang ditemani anaknya, Safiullah, 9, mendakwa hanya mengisi perut dengan meminum air dan sedikit roti disedekahkan jirannya. "Saya cuba mencari pekerjaan namun keadaan kini sukar. Ramai yang menganggur seperti saya kerana tiada peluang pekerjaan. "Tanpa duit, anak-anak saya akan kelaparan. Apa yang boleh saya berikan pada mereka ?" ujarnya sedih. Usaha murni MCM semalam turut mendapat kerjasama Yayasan Amal Malaysia. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT