Bukan sebab tiada job, penyanyi dangdut Ani Mayuni berkata tujuannya menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) hanya untuk mengubati rindu peminat dangdut.
Ani Maiyuni atau nama sebenar Aishah An-Nur binti Osman, 43, berkata, ia merupakan platform terbaik untuk dia memberitahu peminat bahawa artis kesayangan mereka masih aktif. “Artis masuk GV bukan kerana tiada job, ramai rakan-rakan artis lain yang show tak putus-putus tapi kita tak nampak sebab lama tak keluar televisyen. "Macam saya sendiri, jarang keluar televisyen dan peminat ingat kita tak aktif dalam industri.
"Banyak antara artis mengambil cabaran untuk bertanding dalam GV ni sebenarnya nak beritahu yang kami ini masih lagi aktif dalam industri,” ujarnya kepada mStar pada Khamis.
Ani antara 13 peserta yang bakal bertanding di pentas GV8 yang akan disiarkan di Astro Ria setiap hari Ahad bermula 21 November ini. Ani bakal berentap dengan 12 peserta lain iaitu Adibah Noor, Aweera, Alif Aziz, Nikki, Azzan Scan, Datuk Fazley Yaacob, NICO, Suki Low, Nikki Palikat, Shidee, Senario (Saiful Apek dan Yassin) dan Bandi Amuk. Sementara itu, dia juga sudah bersedia untuk berdepan cabaran terutamanya dalam menyampaikan lagu selain genre dangdut.
Penyanyi yang popular dengan lagu Sedap ini juga teruja diberi peluang memasuki kelas vokal bersama Cikgu Siti Hajar bagi mempelajari teknik nyanyian yang betul. “Semasa saya mula menyanyi dulu tidak pernah masuk kelas vokal tapi untuk GV8 ni saya bersyukur sebab pihak produksi menawarkan kelas vokal dengan Cikgu Siti Hajar.
"Saya anggap yang saya bermula dari bawah semula, berpeluang belajar teknik nyanyian dan sebagainya. "Untuk persediaan awal juga saya ada buat kajian dengan menonton semula GV8 dari musim pertama hingga terbaharu bagi mendengar semula apa yang juri-juri komen,” ujarnya. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|