Gara-gara stres memikirkan hal kerja, penyanyi Fazli Zainal mengalami tekanan darah tinggi dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Shah Alam pada malam Jumaat lalu.
Menurut Fazli, 43, doktor memaklumkan dia mengalami bengkak di bahagian otak hingga menyebabkan kehilangan memori jangka pendek atau short term memory loss. "Saya alami hilang ingatan baru-baru ini... saya terus dibawa ke hospital dan bacaan tekanan darah tinggi iaitu 217/114 sehingga terpaksa ditempatkan di ICU untuk satu malam. "Doktor beritahu otak saya bengkak sikit, tanda-tanda mild stroke peringkat awal kalau tak dikawal... mungkin berpunca stres fikir fasal kerja.
"Alhamdulillah pagi ini saya dah dibenarkan keluar ICU, doktor sedang memantau keadaan kesihatan saya dan meminta saya berehat jangan fikir apa-apa... sampai bila saya akan duduk di wad pun tak pasti lagi," katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad.
Fazli difahamkan mengalami hilang ingatan jangka pendek ketika berada di pusat karaoke di Cheras bersama dua orang rakannya. Sementara itu, penyanyi lagu Mantan Yang Terluka ini memberitahu ini merupakan pengalaman pertama dia diserang tekanan darah tinggi hingga hilang ingatan. Fazli bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana cepat mendapatkan rawatan sebelum keadaan menjadi lebih parah.
"Saya tak ada darah tinggi tapi mungkin sebab hypertension kerana 29 hari berada di wad Covid-19 dulu... lagi pula sekarang ini banyak event dan job emcee membuatkan saya sedikit sibuk dan kurang rehat. "Ini kali pertama saya berdepan short term memory lost... doktor beritahu kalau tekanan sampai bacaan 220 memang bahaya, boleh sebabkan strok. "InsyaAllah doktor akan merawat saya dengan baik. Terima kasih pada mereka yang tak henti-henti tanya khabar saya pagi ini. Doakan saya tak apa-apa dan cepat pulih ya," katanya.
Sebelum ini Fazli pernah dirawat selama 29 hari di Hospital Ampang mulai 31 Julai lalu kerana tahap oksigen dalam badannya turun sehingga 75 peratus akibat Covid-19. Fazli dibenarkan pulang pada 28 Ogos lalu selain sudah lengkap dua dos vaksin. -CARI Sumber: mStar Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|