Jakarta: Usaha seorang remaja berusia 16 tahun mencari iPhone 12 yang dibuang sepasang kekasih ke dalam sungai akhirnya meragut nyawanya apabila ditemukan lemas.
Kejadian berlaku di Sungai Kalimas, Surabaya pada kelmarin, selepas dia berusaha mencari telefon bimbit jenama mahal itu. Detiknews melaporkan saksi yang juga rakan mangsa dikenali sebagai Valen, 16, mengatakan mereka mendapat maklumat daripada seorang penjaga parkir di sekitar lokasi, sebelum itu ada sepasang kekasih yang bertengkar hingga membuang iPhone 12 di sungai itu. Mendapat maklumat itu, kedua-duanya mencari telefon berharga sekitar 13 juta rupiah (RM3,784) itu. Mereka pun berenang dan menyelam mencari telefon bimbit yang dibuang di sekitar sungai. Bagaimanapun, ketika sedang berenang, Valen melihat mangsa tenggelam dan cuba menarik tangannya. "Saya sempat tarik, tetapi tiba-tiba tangan saya dilepaskannya dan dia terus hilang," katanya. Petugas Pusat Kecemasan 112 Kota Surabaya, Arif Sunandar berkata, menurut keterangan saksi yang bersama mangsa, memang dia berusaha menolong rakannya itu tetapi tidak berdaya. Arif berkata, saksi keluar dari sungai dan meminta tolong orang ramai dan menghubungi pihaknya. Mangsa ditemui sekitar jam 9 pagi dengan jarak kurang 10 meter dari lokasi dia tenggelam. "Jenazah dibawa ke Hospital Dr Soetomo dan ibunya sudah dimaklumkan," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT