Saad menunjukkan air perigi yang tidak boleh digunakan kerana keruh. KAMPUNG KASING - Seorang warga emas melalui hidup sukar sejak 30 tahun lalu apabila terpaksa tinggal dalam rumah yang tidak mempunyai bekalan asas sepatutnya. Segalanya berlaku apabila permohonan untuk memiliki tanah yang diterokanya tidak mendapat kelulusan, sekali gus menjadi penghalang bekalan air bersih dan kemudahan lain disalurkan ke rumahnya. Saad Shafie, 83, berkata, dia merantau dari Kedah bersama isteri 30 tahun yang lalu untuk mencari rezeki di sini. “Dulu, pakcik datang ke sini berdua dengan isteri dan telah meneroka tanah ini sejak 30 tahun lalu, sejak itu kami hanya menggunakan perigi sebagai sumber air. “Keluasan tanah ini lebih kurang dua hektar dan telah ditanam dengan pokok sawit. Anak pakcik ada lima tetapi hanya seorang yang tinggal dengan pakcik bersama isteri dan empat anaknya, sementara anak lain tinggal di Kedah,” katanya. Saad berkata, dia membuat permohonan pemilikan tanah pada 2001 disusuli permohonan sama yang dibuat anak lelakinya, Ismail Saad pada 2009, namun tidak mendapat jawapan. Mohon bantuan JKM Bukan sahaja permohonan tanah, malah permohonan bantuan warga emas dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin juga tidak mendapat respons. Menantunya, Noridah Ramli, 25, berkata, bapa mertuanya sepatutnya layak menerima bantuan JKM memandangkan dia langsung tidak mempunyai pendapatan. “Ayah sekarang hanya mengharapkan suami saya untuk menanggungnya. Suami pula hanya pemandu lori ikan dan walaupun ada kebun sawit, pendapatan yang diterima tidak menentu, bergantung kepada hasil. "Anak yang di Kedah pula tiada khabar berita dan langsung tak hantar wang belanja kepada ayah,” katanya. Noridah berkata, tugas menjaga bapa mertuanya diuruskan olehnya memandangkan suaminya perlu keluar bekerja. “Suami minta saya tolong jaga ayah sebab ayah dah tua sangat. Selain itu, saya juga menjaga dua anak suami dengan isteri pertamanya, seorang anak angkat dan seorang anak kami sendiri,” katanya. Saad menunjukkan tong air yang digunakan untuk menadah air hujan. Urusan harian sukar Noridah berkata, dia tidak mempunyai masalah menjaga bapa mertuanya dan menguruskan anak-anak, namun yang menyusahkannya apabila tiada bekalan air bersih untuk urusan harian seperti memasak, membasuh dan sebagainya. “Kami terpaksa guna air perigi, kadang-kadang minta air dengan jiran untuk masak dan minum. Itu pun bukan percuma, kami bayar apa yang kami ambil," katanya. Lebih perit katanya, apabila musim kemarau kerana perigi kering dan tong tadahan air hujan kosong. Menurutnya, baru-baru ini, mereka terpaksa minta orang gali tanah guna jengkaut untuk mendapatkan sumber air, tetapi malangnya selepas digali, air tidak banyak malah keruh. “Sekarang kami memang susah nak mandi, air untuk memasak saya atau suami angkut guna tong (dari rumah jiran) dengan menaiki motosikal dalam jarak satu kilometer dari rumah. "Jika suami pulang lewat, kami terpaksa mandi air parit depan rumah atau air perigi yang dijadikan kolam ikan di belakang rumah, saya basuh pakaian juga di sana," katanya. Masalah lain yang dihadapi keluarga Saad ialah jalan ke rumah mereka tidak berturap dan keadaan itu menyukarkan urusan keluar masuk selain mengundang bahaya. “Saya pernah bawa ayah naik kereta sorong sebab ketika itu ayah diserang sakit angin pasang dan masa itu jalan lecah kerana baru lepas hujan, jadi motosikal tidak boleh lalu,” kata Noridah. Menurutnya, dia sekeluarga pernah memohon bantuan dengan wakil rakyat Dun Tioman dan beliau memaklumkan akan datang melihat sendiri keadaan mereka. "Tapi saya tak pasti dia datang atau tidak sebab saya takut kalau dia datang masa kami tiada di rumah,” katanya. JKM sahkan terima permohonan Sementara itu, Sinar Harian telah bertemu dengan Pegawai JKM Rompin, Liana Mohamed bagi mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan Saad dan beliau mengakui pihaknya ada menerima permohonan warga emas itu. “Pihak kami pernah datang ke rumahnya pada November 2011 bagi tujuan soal siasat kerana ini prosedur biasa sebelum permohonan diluluskan. “Melalui soal siasat tersebut, pihak kami dapati dia ada tanah seluas dua hektar yang ditanam sawit. Masa itu anaknya yang bernama Ismail dan isteri serta seorang anak angkat sahaja tinggal bersama,” katanya. Beliau berkata, pihaknya terpaksa menolak permohonan Saad kerana pemohon mempunyai harta yang ada hasil (tanah sawit) dan ada anak yang bekerja serta mampu menanggung keluarganya waktu itu. “Maklumat yang pihak JKM dapat adalah berdasarkan temu bual dengan pemohon pada ketika itu. Jika maklumat sudah berubah, permohonan yang baru boleh dibuat,”
|
ADVERTISEMENT