BAYAN LEPAS - Pelbagai taktik dijalankan oleh sekumpulan penyamun yang aktif di sekitar Sungai Ara di sini bagi menyempurnakan niat mereka untuk menyamun. Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin berkata, pihaknya menjalan satu operasi khas bagi mengesan sekumpulan penyamun warga Indonesia yang aktif memecah masuk rumah penduduk sekitar kawasan itu. “Kumpulan itu masih aktif dan terdiri daripada tiga hingga empat orang. Mereka melakukan pelbagai taktik licik untuk menyamun yang menyasarkan rumah di pinggir bukit dan berhampiran hutan sebagai sasaran. “Polis kini melancarkan Op Rantau Khas bagi menjejaki kesemua penyamun ini yang aktif sejak Mei lalu,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Taman Perumahan Changkat Sungai Ara, semalam. Menurutnya, sekumpulan penyamun itu sangat licik melakukan kegiatan memecah masuk ke rumah penduduk dengan modus operandi mereka tersendiri. “Mereka akan datang ke kawasan untuk kenal pasti, sama ada kawasan itu mudah untuk jalankan kegiatan mereka dengan menyamar sebagai pemotong rumput dan sebagainya. “Mereka akan datang pada hari sama mereka rancang untuk pecah masuk ke rumah, sekitar jam 6 petang. Mereka kemudiannya akan datang semula ke lokasi sasaran sekitar jam 8 atau 9 malam dengan menaiki van, teksi atau kereta. Mereka akan bersembunyi di hutan berhampiran sebelum memecah masuk ke rumah,” katanya. Menurutnya, kumpulan itu juga bertindak meracun anjing milik penduduk di situ serta anjing liar yang berkeliaran bagi mengelak pergerakan mereka disedari. “Oleh itu, kita meningkatkan aktiviti rondaan serta menempatkan anggota yang akan bermalam di pinggir hutan di kawasan perumahan terbabit. “Orang ramai diminta segera melaporkan kepada polis sekiranya bertembung dengan individu yang mencurigakan..
|
ADVERTISEMENT