Hampir setahun yang lalu,Renault telah memperkenalkan model sedan bagi menambahkan lagi pilihan untuk segmen-C ini iaitu Fluence versi unit pemasangan tempatan (CKD). Pagi ini, bertempat di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall, TC Euro Cars Sdn Bhd (TCEC) telah melancarkan model facelift bagi Renault Fluence. Hadir dengan teknologi yang lebih terkini bersama gaya yang lebih menarik. Menawarkan dua varian iaitu spesifikasi pertengahan, Expression yang ditawarkan pada harga RM112,178.81 dan bagi spesifikasi tertinggi, Dynamique pula berhargaRM123,481.97. Harga berkenaan adalah berserta GST dan insurans. “Perubahan yang ditampilkan pada Fluence baharu ini boleh dikatakan lebih lengkap seperti mana yang diingini oleh pelanggan kami yang inginkan sesuatu yang lebih bergaya dengan pakej yang kompetitif,” ujar Kuan Kim Luen, CEO TCEC. Dengan identiti baharu, Fluence facelift ini lebih bergaya dengan sedikit sentuhan terkini pada bahagian luarannya termasuklah logo di tengah-tengah gril bersama jaluran berwarna hitam bersama kekemasan krom memberikan penampilan yang lebih dinamik. Lampu nyalaan siang LED dan kekemasan krom/hitam berkilat pada bahagian dalaman turut menyumbangkan lagi gaya baharu Fluence ini. Bahagian kabin juga memiliki lebihan ruang serta telah diberi penambah baikan dengan upholstery baharu bagi segmen yang tinggi. Bukan itu sahaja, Fluence baharu ini juga dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk menampilkan elemen baharu seperti radio dengan sambungan Bluetooth dan USB serta soket. Fluence baharu ini juga ditampilkan dengan inovasi daripada sistem multimedia Renault R-Link yang sesuai dengan pengguna kenderaan masa kini. Ia dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh dan pengesan suara. Malah Renault R-Link ini turut dihubungkan dengan sistem navigasi, fungsi telefon dan juga pemain muzik. Selain itu, antara elemen lain yang turut diberi penambah baikan termasuklah kad akses tanpa kunci, dua zon penghawa dingin automatik dengan corong udara untuk tempat duduk belakang, kamera undur, kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan dan lampu utama automatik. Namun bagi varian Dynamique, elemen tambahan yang turut ditampilkan termasuklah tempat duduk balutan kulit sepenuhnya (fabrik untuk Expression), lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, rim aloi Akihiro bersaiz 17-inci dan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Kedua-dua varian dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 143 hp pada tahap 6,000 rpm dan tork puncak 195 Nm pada 3,700 rpm. Bagi memantapkan lagi prestasinya, ia juga dipadankan dengan transmisi X-Tronic CVT. Fluence mampu dipecut secara maksimum pada kelajuan 195 km/j. Malah juga mampu dipecut daripada 0-100 km/j dalam hanya 10 saat. Bagi aspek keselamatannya, ia dilengkapi ABS, EBD, ESP, enam beg udara dan Isofix. kredit:www.infokereta.com
|
ADVERTISEMENT