KUALA LUMPUR: Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dinasihat tidak membesarkan isu keperluan memasak di kampus atau rumah sewa selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai faktor yang boleh menjadikan mereka mati kebuluran. Bekas Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, kontroversi kehadiran Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan di kampus universiti itu pada Sabtu lalu untuk menjelaskan isu GST dilihat sengaja diperbesarkan pihak tertentu demi kepentingan kumpulan tertentu. "Saya minta pelajar UiTM jadi sedikit rasional, maksudnya jangan cakap melalui emosi dan tidak bersebab untuk marah kepada kerajaan. "Apa yang dikatakan Ahmad benar selain banyak makanan dijual di dalam kampus sendiri dengan harga yang berpatutan. Memang isu masak sendiri ditujukan kepada mereka yang menyewa di luar kampus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Dr Ibrahim mengulas kenyataan Ahmad yang merayu semua pihak berhenti memanipulasi saranannya yang meminta pelajar universiti untuk mengamalkan masak sendiri dari makan di luar bagi mengurangkan beban GST. Tegas Ahmad, ucapannya selama lebih dua jam 45 minit di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam pada Sabtu itu dilihat menyentuh isu menyeluruh mengenai GST dan hal masak sendiri hanya tertakluk kepada mereka yang menyewa di luar sahaja. Terdahulu, nama Ahmad menjadi trending di media sosial kerana saranannya yang didakwa menyuruh pelajar yang duduk di kampus untuk memasak sebagai cara mengelas GST. Pelbagai reaksi diberi pelajar termasuk larangan memasak di kampus yang dikatakan sudah sekian lama dikuatkuasakan. Dalam pada itu kata Dr Ibrahim, pelajar berkenaan seharusnya bersyukur kerana kerajaan sudah memberikan lebih 90 peratus subsidi kepada pelajar UiTM selama ini. "Sudahlah mereka ini diberi subsidi yang banyak selain Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang cukup pada setiap semester. "Kenapa mereka seolah-olah hendak meruntuhkan dunia dengan isu GST ini? Seharusnya mereka berterima kasih kerana selama ini kerajaan sudah banyak membantu sehingga mereka berada kini berada di UiTM," jelasnya. Selain kampus utama UiTM di di Shah Alam, Selangor, UiTM mempunyai tiga buah kampus satelit, 12 kampus cawangan dan sembilan kampus bandar. UiTM mempunyai cawangan di semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan. Sebelum ini, UiTM dilaporkan akan meningkatkan pengambilan pelajar kepada 250,000 pelajar menjelang 2020.
|
ADVERTISEMENT