CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Sukan Lihat artikel

Pakar keselamatan F1 'goyang' dgn pemandu malaysia

28-3-2015 10:52 AM| Diterbitkan: admin6| Dilihat: 5314| Komen: 0

SEPANG: Tidak ramai mengenali Bernd Maylander malah mereka yang mengikuti rapat sukan permotoran empat roda nombor satu dunia, Formula Satu (F1) juga mungkin terpinga-pinga jika ditanya siapakah pemilik nama ini.

Begitupun, apa yang didedahkannya - yang boleh dianggap 'pakar' dalam isu keselamatan jalan raya mengenai negara ini boleh dianggap agak mengejutkan, terutama buat pemandu teksi.


Bernd Maylander pemandu kereta keselamatan F1 yang berkecimpung dalam sukan permotoran popular dunia itu sejak tahun 2000. - Foto Osman Adnan

Nama Maylander sememangnya tidak segah atau sepopular nama pelumba F1 seperti Sebastian Vettel, Lewis Hamilton atau pun Nico Rosberg, namun jika ada perkara yang tidak diingini berlaku ketika perlumbaan berlangsung, dia adalah insan yang akan memimpin bintang ini di atas litar.

Apa tidaknya, bekas pelumba kereta touring dunia kelahiran Jerman ini adalah pemandu kereta keselamatan F1 yang berkecimpung dalam sukan permotoran popular dunia itu sejak tahun 2000.

Ketika diminta mengulas mengenai keadaan keselamatan jalan raya dan pemandu di negara ini, Maylander menyifatkan dia lebih terkejut dengan cara pemandu teksi terutama selepas mendapat maklum balas daripada ramai orang yang ditemuinya di lapangan terbang.

"Saya banyak kali mendengar keluhan daripada ramai orang yang saya jumpa ketika di lapangan terbang yang pemandu teksi mereka memandu seperti orang gila.

"Begitupun bagi saya, sebagai pengguna dan kamu membayar mereka, jadi kamu boleh mengarah mereka untuk melakukan apa yang kamu mahu untuk merasa selamat.

"Saya sentiasa melakukannya kerana saya mahu selamat. Kadang kala, penting untuk kita melihat perkara seperti ini dengan lebih mendalam dan jika saya berpeluang merakamnya, saya akan melakukannya selepas ini," kata bekas pelumba berusia 43 tahun itu.


Bernd Maylander kata dia terkejut dengan cara pemandu teksi di negara ini. - Foto Osman Adnan

Baiki etika, sikap pemandu

Mengenai keadaan jalan dan pemandu di Malaysia, Maylander menyifatkan masih banyak yang perlu diperbaiki terutama dari sudut etika dan sikap pemandu itu sendiri.

"Saya fikir ramai pemandu di Malaysia menganggapnya (jalan raya) sebagai tempat untuk bertarung (berlumba). Terutama sekali di lampu isyarat, di selekoh, ketika memotong kenderaan lain, di selekoh bahaya dan bagi saya ia tidak boleh diterima.

"Saya biasa memandu di tempat yang agak selamat. Saya juga 100 peratus yakin jalan raya memang 100 tidak selamat dan kemalangan sentiasa boleh berlaku, tidak kira kereta besar atau kecil kerana kesemuanya ada had masing-masing untuk menerima impak.

"Saya tidak mahu berkata mengenai kereta kecil (di negara ini) kerana ini perkara yang lain namun ia banyak di negara ini dan bagi saya banyak, yang boleh berlaku.

"Jadi apa yang paling penting ialah menghormati orang lain di atas jalan. Mereka perlu faham ia bukanlah litar perlumbaan namun jalan raya biasa," katanya.

Menyifatkan Malaysia memiliki antara rekod paling buruk dalam kemalangan jalan raya, Maylander menganggap perkara paling penting ialah kesedaran orang ramai.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh sebuah universiti di Amerika Syarikat mengenai tahap keselamatan jalan raya di dunia tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-17.

"Sudah tentu ada banyak yang perlu dilakukan dari sudut sistem untuk mengajar pemandu di Malaysia dan bagi situasi di sini yang memiliki banyak trafik selain sistem jalan yang baharu.

"Mereka perlu faham, jika kemalangan, mereka boleh membabitkan orang lain. Bagi saya, semua orang perlu menerima peraturan yang ditetapkan dan mengikutinya kerana itulah perkara yang paling utama dan boleh menghalang kejadian tidak diingini daripada terjadi.

"Apapun, saya pasti rakyat Malaysia bijak untuk menilai perkara ini."


"Apa yang paling penting ialah menghormati orang lain di atas jalan. Mereka perlu faham ia bukanlah litar perlumbaan namun jalan raya biasa," Bernd Maylander. - Foto Osman Adnan

Ikut segala prosedur

Berkongsi pengalaman manis dan buruk sejak bergelar pemandu keselamatan, Maylander turut memiliki pengalaman yang tidak boleh dilupakan di GP Malaysia.

"Jika bercakap mengenai kemalangan yang besar, apa yang berlaku kepada kepada bekas pemandu Lotus, Robert Kubica di GP Kanada pada 2007 antara paling mengerikan.

"Ia kemalangan dalam perlumbaan paling besar sepanjang perlumbaan yang pernah saya saksikan kerana impaknya terlalu besar.

"Kami semua memang menjangkakan banyak perkara tapi tidak menjangka dia akan balik ke rumahnya selepas itu tanpa kecederaan teruk.

"Selain itu apa yang berlaku kepada Jules Bianchi tahun lalu di GP Jepun juga besar. Saya boleh takrifkan perkara-perkara ini seperti masa yang buruk untuk F1. Namun akhirnya kami sudah mengikuti segala prosedur yang dikeluarkan dalam perlumbaan.

"Ia bukanlah masa yang baik namun kerana itulah kereta keselamatan berada di dalam litar.

"Di Malaysia, antara yang saya tidak boleh lupakan ialah saya pernah memimpin perlumbaan ketika hujan sehinggalah minyak kereta saya hampir habis," katanya.

Ketika memandu kereta keselamatan, Maylander dibantu Peter Teppetts yang memberinya sebarang maklumat yang diperlukan.

SIC selamat

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan F1 ketika ini menggunakan kereta Mercedes sebagai kereta keselamatan ketika Grand Prix berlangsung.

Sekalipun SIC pernah dilanda beberapa siri kemalangan hingga membabitkan kehilangan nyawa, Maylander menyifatkan ia bukan salah pihak pengurusan litar.

Malah katanya, SIC sudah mematuhi segala kriteria keselamatan yang diperlukan dan apa yang berlaku adalah membabitkan nasib.

Pada 2011, pelumba MotoGP dari Itali, Marco Simoncelli maut selepas terjatuh daripada jenteranya dan dilanggar penunggang lain dan tidak dapat diselamatkan.

"Saya tahu mengenai perkara ini namun saya tidak berapa tahu mengenai MotoGP. Apa yang saya tahu, SIC sudah memenuhi segala kriteria keselamatan yang diperlukan dan bagi saya ia cukup baik.

"Apa pun, sukan permotoran boleh menjadi sesuatu yang amat berbahaya. Itu tidak boleh dinafikan."

Ditanya sama ada dia pernah berdepan kemalangan ketika menjalankan tugas selaku pemandu kereta keselamatan, Maylander sambil berseloroh mengakui itu soalan yang paling dinantikan.

"Inilah soalan yang paling saya tunggu," katanya sambil ketawa. "Saya bernasib kerana masih belum mengalami kemalangan ketika bertugas, kerana itu saya masih melakukan kerja ini.

GP Malaysia terbaik

"Namun banyak perkara yang menarik dan mencabar dalam kerja ini terutama dalam keadaan yang situasi yang rumit terutama dalam keadaan hujan.

"Kamu akan mengetuai semua pelumba dan ia bukanlah tugas yang mudah kerana kamu juga perlu selamat.

"Kerana itu, sekalipun berpengalaman luas, kami juga memerlukan latihan, banyak latihan terutama seperti hari ini (Khamis - sehari sebelum sesi ujian pada Jumaat).

Sebagai rakyat Jerman, Maylander turut mengakui sedih dengan ketiadaan perlumbaan F1 di negara kelahirannya itu tahun ini.

Kerana itu, dia berharap nasib sama tidak terjadi di Malaysia yang ketika ini masih berteka-teki dengan penyambungan kontrak F1 di Sepang.

"Sudah tentu sedih," katanya mengulas keputusan dibuat FIA itu. "Tetapi saya agak optimis perlumbaan F1 akan terus diadakan di sini kerana bagi saya, ia adalah salah satu GP yang terbaik.

"Malah bagi saya secara peribadi, perlumbaan di sini lebih baik berbanding di Singapura," katanya yang meminati makanan di Malaysia yang dianggap pedas namun sedap.

BIODATA:
BERND MAYLANDER
Tarikh Lahir: 29 Mei 1971
Umur: 43 tahun
Asal: Waiblingen (Jerman)
Jawatan: Pemandu kereta keselamatan F1 sejak 2000

1

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

Friends Rank (1 people)

  • Bagus

    Anonymity


ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 04:46 PM GMT+8 , Processed in 0.036298 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top