BANDUNG – Rakyat Indonesia lewat malam Selasa dikejutkan dengan berita sedih apabila penembak tepat jauh terbaik dunia atau popular disebut sebagai sniper, Tatang Koswara meninggal dunia dalam usia 68 tahun, lapor media pada Rabu. Allahyaram yang berasal dari Medan, wilayah Sumatera menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung kira-kira pukul 8 malam (atau 9 malam waktu Malaysia) ketika dalam perjalanan menuju ke Hospital Medistra di Jakarta. Beliau yang bersara pada 1996 dengan pangkat asisten leftenan satu, dilaporkan sibuk seharian sejak akhir-akhir ini apabila ramai wartawan tempatan dan antarabangsa tidak putus-putus datang untuk menemuramah allahyarham di rumahnya. Malah pada hari Tatang meninggal dunia semalam, beliau sanggup keluar rumah awal pagi dari Cibaduyut di sini ke Jakarta bagi menghadiri banyak sesi wawancara padat silih berganti dengan wakil media massa termasuk stesen televisyen.. Allahyarham yang berniaga warung makanan di sebelah kem Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Jalan Aceh di sini selepas pencen; dilaporkan mengadu sakit dada setelah habis temubual live program bicarawara Hitam Putih terbitan TV Trans7. “Arwah ketika ditemuramah Dedi Corbuzier sudah macam sesak nafas tetapi kami sekeluarga tidak syak apa-apa dan selesai rancangan itu untuk rehat solat Maghrib, dia jatuh pengsan sebelum sempat makan ubat,” jelas isterinya, Tati Hayati Allahyarham yang turut berwasiat enggan jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan Padalarang kerana faktor jarak tempat; meninggalkan seorang balu dan empat anak; Pipih Djuaningsih, Ina Marlina, Tubagus Apdi Yudha dan Tanti Melani. Beliau yang menjadi askar sejak 1967, sepatutnya disemadikan di tanah perkuburan wira republik itu atas jasanya kepada Indonesia, bagaimanapun tetap diberi penghormatan ketenteraan dan keluarganya dibenarkan menetap di kompleks kediaman TNI Rahsia kehebatan Tatang cuma didedahkan bekas ketuanya, Leftenan Kolonel Edi Sudarjat, Komandan Pusat Pendidikan Infantri, malah namanya dimasukkan dalam buku Sniper Training, Techniques and Weapons terbitan tahun 2000 oleh Peter Brookesmith. Beliau adalah antara kumpulan perintis 17 penembak tepat TNI yang dilatih khusus oleh komando marin Amerika Syarikat, Green Berets pada 1974 yang mampu membunuh pada jarak jauh 900 meter dengan senjata khas Winchester model 70. Allahyarham menjadi penembak tepat terbaik di dunia susulan misi rahsia di Timor Timur pada 1977-1978 dan berjaya membunuh terus ke jantung pemberontak pemisah sebelum pulau bekas jajahan Portugal itu merdeka daripada Indonesia. – Agensi
|
ADVERTISEMENT