Mara: Ringgit Jatuh Tak Jejas Pembiayaan
PUTRAJAYA - Kejatuhan nilai ringgit tidak akan menjejaskan kuota penghantaran dan jumlah pembiayaan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mars) ke luar negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau memberikan jaminan walaupun penyusutan nilai ringgit memberi kesan terhadap agenda dan perancangan kementerian, ia tidak akan digunakan sebagai alasan untuk menyekat peluang pendidikan pelajar cemerlang.
"Kita sedar ada kesan berikutan penurunan nilai ringgit. Kita cuba tangani situasi itu, antaranya mengurangkan kos pengurusan tanpa menjejaskan kuota dan jumlah penajaan yang dilaksanakan sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, hari ini.
Ringgit berada pada RM3.56 berbanding dolar Amerika pada dagangan pagi tadi.
Mohd Shafie turut memberi jaminan Mara tidak akan meminta pelajar tajaannya untuk pulang atau mengenepikan negara-negara dengan nilai mata wang tinggi dari senarai penghantaran pelajar.
Beliau berkata, ketika ini pelajar-pelajar tajaan Mara sedang mengikuti pengajian di lebih 27 buah negara antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun dan Rusia.
Untuk rekod, sejumlah 2,000 pelajar tajaan Mara kini sedang menyambung pengajian di United Kingdom, diikuti Australia dan Amerika Syarikat dengan masing-masing 1,500 dan 800 orang pelajar.
Mohd Shafie berkata, untuk tahun ini kementerian itu menyasarkan untuk menghantar 10,000 pelajar cemerlang menyambung pengajian ke luar negara.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|