Dua Sahabat Maut Membabitkan Lima Kenderaan Seremban: Dua sahabat maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 250, Lebuhraya PLUS, arah utara, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Mastura Abd Karim, 35 dan Ahmad Azlan Zakaria, 25 meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua mangsa yang juga ejen insurans bersama dua lagi rakan mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki Perodua Alza untuk bertemu pelanggan sebelum mengelak sebuah kereta Proton Saga FLX yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler.
“Kereta Proton Saga itu terbalik di lorong kanan menyebabkan pemandu Alza mengelak ke kiri dan melanggar sebuah lagi treler. Sebuah lagi kereta Nissan Almera dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun cuba mengelak melanggar kenderaan berkenaan dan terbabas di tengah jalan.
“Akibat perlanggaran itu, dua penumpang Alza meninggal dunia, manakala pemandu dan seorang lagi penumpang cedera. Pemandu Proton Saga yang terbalik, parah, manakala pemandu Nissan Almera, cedera,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, di sini, untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|