Selangor Perlu Ada Ketua Pembangkang SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Umno Selangor perlu melantik ketua pembangkang mengikut prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini. Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abu Hassan Omar berkata, dari segi amalan demokrasi jawatan itu sepatutnya diisi oleh BN dalam usaha meningkatkan keberkesanan sistem demokrasi di negeri ini. “Jawatan ini wajar ada sama ada di sidang Parlimen atau Dun kerana ketua pembangkang merupakan penghubung antara parti dengan kerajaan berkuasa. “Jadi dalam hal ini, saya merasakan adalah wajar Umno Selangor melantik ketua pembangkang baharu sebelum menjelang sidang Dun akan datang,” katanya, semalam. Bagaimanapun katanya, PR perlu memberi masa dan ruang kepada Umno Selangor meneliti dan membuat keputusan mengenai perkara ini. “Saya percaya perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya. Menyentuh isu penolakan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) oleh Datuk Mohd Shamsudin Lias, Abu Hassan berkata, beliau tidak dapat memastikan dengan jelas sama ada ketua pembangkang seharusnya dilantik untuk mengetuai PAC. "Saya tidak mengikuti perkembangan dari segi Undang-undang Tubuh Dewan. Jadi saya tidak tahu sama ada ketua pembangkang wajib dilantik menjadi PAC atau mana-mana Adun boleh menyandang jawatan tersebut. “Itu bergantung kepada Undang-undang Tubuh Dewan yang membuat penetapan dan ia sepatutnya diteliti juga bagi mengetahui peraturan mengenai pelantikan pengerusi PAC,” katanya. Namun, Abu Hassan menegaskan perlu ada wakil dari parti pembangkang atau ahli BN dalam PAC bagi memastikan pengurusan negeri sebagai penyemak dan pengimbang kepada kerajaan negeri agar dapat berjalan dengan lancar terutamanya demi keadilan rakyat. “Dua-dua pihak perlu ada dalam PAC, tetapi agihan komposisi ahli bergantung pada kuota yang ditetapkan oleh parti berkuasa. Dalam hal ini, PR ada kuasa untuk menetapkan bilangan ahli dalam PAC,” katanya.
|
ADVERTISEMENT