CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Hot Topic Lihat artikel

Bukan Tidak Hormat Sultan, Ramai Pening Nama Baru Jalan

28-11-2014 05:31 PM| Diterbitkan: admin9| Dilihat: 5532| Komen: 4

Bukan tidak hormat Sultan, ramai pening nama baru jalan


Ramai yang memberikan reaksi apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan 8 jalan utama di sekitar ibu kota menerima nama baru pada Rabu.
Selepas sekian lama sebatang jalan sepanjang 4.3km dari bulatan di Jalan Kuching hingga persimpangan Lebuhraya Mahameru dikenali sebagai Jalan Duta, kini ia dinamakan Jalan Tunku Abdul Halim sempena nama Yang Di-Pertuan Agong sekarang.

Lebuhraya Mahameru yang sepanjang 3.5km itu pula ditukar namanya kepada Lebuhraya Sultan Iskandar, sempena Agong ke-8, iaitu Sultan Johor yang mangkat pada 2010.


Enam batang jalan lain yang mendapat nama baru adalah Jalan Khidmat Usaha (1.2km), Jalan Ipoh (dari persimpangan Jalan Segambut hingga Persimpangan Jalan Pahang sepanjang 2.5km), Persiaran Duta (1.7km), Jalan Khidmat Setia dan Jalan Ibadah (1.1km), Persiaran Mahameru (1.9km) dan Jalan Semarak (1.9km).

Masing-masing akan menggunakan nama-nama Agong terdahulu iaitu Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Sultan Azlan Shah, Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Jalan Sultan Mizan Zainal Abidin, Persiaran Tuanku Ja’afar dan Jalan Sultan Yahya Petra.

Menurut DBKL, kerja pemasangan papan tanda nama baru dijangka dilaksanakan mulai Rabu.


Pengurus Perancangan Korporat DBKL Dr Ismail Tapa berkata, tindakan penamaan semula itu dibuat sempena nama Raja-raja yang pernah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Langkah itu mengejutkan ramai pihak, terutamanya warga kota yang selama bertahun-tahun selesa dengan nama jalan-jalan utama itu yang kebanyakannya pendek dan mudah disebut dan diingat.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Loga Bala bagaimanapun menjelaskan, keputusan menukar nama jalan itu dibuat atas permintaan Majlis Raja-raja Melayu tahun lepas.

“Majlis Raja-raja berkata tidak banyak nama jalan di Kuala Lumpur dinamakan sempena Sultan, jadi mereka mahu tukar,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita. 

Menjawab kemusykilan berkaitan kos yang ditimbulkan segelintir pihak, beliau juga menerangkan pertukaran itu tidak melibatkan sebarang kos daripada kementerian atau DBKL.

Pengguna media sosial melepaskan perasaan mereka di alam siber, menyoal apa perlunya nama jalan yang mudah diingat itu ditukar kepada nama yang begitu panjang.

Ada juga yang tidak senang kerana penamaan semula jalan itu akan menjejaskan aplikasi peta telefon pintar yang digunakan selama ini sebagai peta bagi mencari petunjuk arah dan lokasi tertentu.

Apabila ramai yang tidak puas hati dan melepas geram melalui Twitter dan Facebook, seorang menteri yang sedang menghadiri mesyuarat partinya menganggap rakyat tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu apabila memprotes keputusan DBKL itu.

Sebenarnya, tiada siapa yang cuba mempertikaikan kedudukan Raja-raja.

Yang dipertikaikan ialah keperluan menukar nama jalan yang sudah biasa di bibir orang Malaysia, terutamanya warga Kuala Lumpur.

Kata menteri itu, nama jalan seperti Duta dan Mahameru tidak mempunyai makna. Jadi, kerajaan setuju menukarkannya kepada nama-nama Raja Melayu yang juga ketua negara kepada seluruh rakyat Malaysia, katanya.

Perkataan seperti Duta, Mahameru, Ipoh dan Semarak ada maknanya dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi, mungkin tidak diketahui relevannya apabila ia digunakan sebagai nama jalan.

Mungkin juga ahli sejarah atau datuk moyang kita boleh terangkan atau ceritakan asal usul nama-nama jalan tersebut.

Tetapi, pokok pangkalnya, mereka yang mempertikaikan nama baru bagi lapan jalan utama itu bukan cuba berlaku biadab kepada Raja.

Mereka cuma tidak nampak apa perlunya dan rasa tidak selesa dengan nama yang agak panjang – susah disebut, susah diingat - dan rasa terganggu, keliru dan janggal apabila sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan tiba-tiba diubah.

Rasanya, kalau sebatang jalan baru atau jambatan baru atau bangunan baru dinamakan sempena nama Sultan atau Agong, tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

Tambahan pula, apabila ada juga bangunan utama yang dinamakan mengikut nama jalan tersebut, contohnya Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Hentian Duta. 

Pening juga kepala kalau selepas ini, apabila nama Jalan Duta sudah dilupakan, ada yang bertanya, kenapa kompleks itu namanya begitu? 
Di mana Jalan Duta? Lainlah kalau ia pun ditukar nama kepada Kompleks Mahkamah Jalan Tunku Abdul Halim. – 28 November, 2014.


Forum : http://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=842532&extra=&page=7

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

Komen di sini

Komen Terbaru

Quote moonna 2-12-2014 12:48 PM
nak mengampu pun letaklah kat jalan baru. siapalah yg dapat kontrak bukak pasang signboard tu. untonglah. kerajaan buang duit pandai.
Quote unguaurora 1-12-2014 02:04 PM
Rasanya tukar nama jalan di KL x begitu praktikal sbb jln di sana agak rumit lbih2 lagi utk org luar yg jarang g KL. Lbih baik kalau nama2 sultan tu digunakan utk gantikan nama lebuh raya yg x begitu byk berbanding jln2 biasa tu..
Quote babypureen 1-12-2014 10:48 AM
tukarlah nama apa pun, org tetap sebut nama lama gak.....macam carefour....nama baru aeon big tapi aku tetap panggil carefour, hehe
Quote Knowlee 1-12-2014 09:03 AM
Betul jugak. Bukan kita tak hormat Sultan, cuma nama jalan tu dah biasa macam tu, tiba-tiba kena tukar dan panjang pulak tu, agak mengelirukan. Waze, Google Maps, GPS semua taktau la dah update ke belum nama-nama jalan tu.

Lihat semua komen(4)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-11-2024 11:15 PM GMT+8 , Processed in 0.038133 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top