Petani Tanam Labu Seberat Satu Tan HAWKLEY bergambar bersama labu seberat hampir satu tan pada pertandingan labu terberat di California, Amerika Syarikat kelmarin. LOS ANGELES – Sebiji buah labu yang ditanam oleh seorang petani di Napa Valley dalam negeri California diisytiharkan sebagai buah labu paling besar yang pernah ditanam di Amerika Utara. Buah labu seberat 933 kilogram yang ditanam oleh petani itu, John Hawkley berjaya memenangi satu pertandingan buah labu terberat yang berlangsung di sini kelmarin. Pegawai pertandingan itu, David Stelts berkata, pihak penganjur merancang untuk membawa buah labu berkenaan ke New York untuk dipamerkan dalam satu pameran botani tidak lama lagi. “Buah labu yang ditanam Hawkley ini lebih berat daripada rekod sebelum ini yang juga dicatatkan di daerah Napa Valley. “Sebagai johan pertandingan ini, Hawkley memenangi wang tunai berjumlah AS$13,348 (RM43,704),” katanya. Rekod buah labu paling berat di dunia dicatatkan oleh seorang petani dari Switzerland yang berjaya menanam labu seberat 952 kilogram.
|
ADVERTISEMENT