Budu Cap Ketereh Kini Dalam Tiub
Inisiatif itu diambil oleh pengeluar budu terkenal Budu Cap Ketereh di sini menerusi inovasi yang dibangunkan bersama Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) serta Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC). Pengusahanya Mat Ismail Jusoh berkata beliau mendapat ilham memodenkan pembungkusan budu keluaran syarikatnya selepas melawat China beberapa tahun lepas. “Setelah saya memperkenalkan pembungkusan dalam bentuk peket sekitar beberapa tahun lepas, saya menerima maklum balas daripada pelanggan yang turut mencadangkan budu diisi di dalam tiub yang lebih mudah diguna. “Malah, pembungkusan di dalam tiub ini juga menyelesaikan masalah penggemar yang mahu membawa budu ketika ke luar negara kerana pek di dalam botol memang tidak dibenarkan dibawa dalam penerbangan,” katanya yang ditemui pemberita selepas pelancaran kilang budunya di Kampung Ketil oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, hari ini. Katanya budu itu boleh diperoleh dalam tiub 100 mililiter dan sudah berada di pasaran sejak enam bulan lalu. “Diharapkan dengan pembungkusan dalam tiub yang moden dan bersih ini juga akan membantu usaha menembusi pasaran antarabangsa,” katanya yang tidak menolak kemungkinan akan mengurangkan pembungkusan menggunakan botol secara berperingkat jika budu di dalam tiub mendapat sambutan baik. Usahawan berusia 63 tahun itu berkata beliau mengusahakan perniagaan itu lebih 30 tahun lalu selepas bekalan ikan bilisnya banyak dan tidak terjual. “Pada peringkat awal saya hanya membuat budu secara kecil-kecilan dan dalam tempoh beberapa tahun berjaya mendirikan kilang,” katanya yang kini mempunyai 80 pekerja dengan pengeluaran 4,000 botol setiap hari serta mencatat nilai jualan RM10 juta setahun.
|
ADVERTISEMENT