Siswi Uitm Tak Rasa Apa Ditikam Bertubi-Tubi !
ALOR GAJAH 10 Sept. - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu parah ditikam semasa bergelut dengan seorang penjenayah yang memecah masuk rumah sewanya di Apartment Dimensi, di sini pagi ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Siti Irina Ridzwan, 20, mengalami kecederaan serius akibat ditikam sebanyak lima kali di bahagian dada selain satu tikaman di tangan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau. Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Abd. Rahman Jid berkata, mangsa yang sedang tidur ketika itu terkejut apabila melihat kelibat seorang lelaki memasuki biliknya yang tidak berkunci. Menurutnya, suspek kemudian bertindak menekan badan mangsa dan mengarahkan supaya tidak menjerit sebelum menikamnya kerana cuba melawan. "Mangsa pada mulanya tidak sedar dia ditikam kerana menyangka hanya ditumbuk oleh lelaki berkenaan namun mula menjerit meminta tolong selepas melihat banyak darah keluar dari dadanya. "Rakan serumah mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar jeritan mangsa dan pada waktu itu suspek telah melarikan diri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini hari ini. Abd. Rahman berkata, siasatan awal mendapati suspek tinggal di blok yang sama dengan mangsa dan dipercayai memecah masuk rumah mangsa melalui pintu rumah sewanya yang tidak berkunci. Sehubungan itu ujarnya, polis telah melancarkan serbuan di sebuah rumah dipercayai tempat penginapan suspek dan menahan dua lelaki berusia 16 dan 20 tahun untuk membantu siasatan selain menemui barangan milik mangsa di rumah berkenaan. "Pemeriksaan di rumah suspek berjaya menjumpai dua kunci kereta dan tiga beg duit milik mangsa serta rakan serumahnya selain menemui kerambit dan dua bilah parang," katanya. Tambah Abd. Rahman lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan hingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa. Sementara itu, mangsa yang merupakan penuntut semester lima Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media universiti berkenaan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Melaka.
|
ADVERTISEMENT