PEMILIK tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan mereka di petak tempat letak kereta yang disediakan khas untuk OKU di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 9 Sept. - "Kami hanya meletakkan kenderaan sementara sahaja. Kebetulan petak tempat letak kereta Orang Kurang Upaya (OKU) di sini kosong,".
Begitulah jawapan ringkas sepasang suami isteri yang normal tubuh badannya ketika diaju pertanyaan oleh penulis mengenai tindakan mereka meletakkan kenderaan di petak khas bagi pemandu OKU di salah sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini.
Penulis percaya situasi menyalahgunakan kemudahan OKU, lebih-lebih tempat letak kereta, sama ada secara sedar atau tidak bukan lagi luar biasa dalam kalangan masyarakat hari ini.
Keadaan ini sekaligus membuktikan tahap kesedaran terhadap golongan ini masih rendah.
Kemudahan yang disediakan itu tidak lain bertujuan memudahkan pergerakan golongan itu melakukan tugasan harian mereka.
Sikap tidak prihatin dan kurang bertimbang rasa segelintir orang awam itu bukan sahaja menyukarkan golongan OKU, bahkan menggambarkan sikap pentingkan diri.
Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa lokasi tumpuan di sekitar ibu kota baru-baru ini, mendapati penyalahgunaan kemudahan OKU dilihat semakin menjadi-jadi.
Biarpun simbol OKU dan papan tanda khas diletakkan ia langsung tidak dihiraukan.
Apatah lagi papan tanda yang memberi amaran mereka yang menyalahguna petak tempat letak kereta bagi OKU atau tidak mempunyai pelekat khas tindakan mengunci tayar akan diambil.
TINDAKAN meletakkan motosikal di laluan pejalan kaki OKU menggambarkan sikap tidak prihatin masyarakat kepada golongan ini.
Kesempatan turut diambil penulis untuk bertanyakan situasi salah guna kemudahan OKU itu kepada seorang pegawal keselamatan di situ.
Jawapan yang diterima agak mengecewakan.
Menurut lelaki berusia hampir 50-an itu, mereka tidak mempunyai banyak masa dan tenaga semata-mata untuk mengawal petak khas disediakan untuk OKU.
"Kami hanya berharap orang awam sedar mengenai hak-hak OKU.
"Jika secara kebetulan individu didapati bersalah, tindakan mengunci tayar dan denda sebanyak RM50 akan dikenakan," jelasnya.
Sementara itu, tinjauan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara mendapati situasi sama turut berlaku apabila petak tempat letak kenderaan OKU yang disediakan dipenuhi beberapa buah kereta dan motosikal.
Ketiadaan sebarang pelekat OKU ditampal menguatkan tekaan penulis kenderaan itu milik orang awam yang tidak bertanggungjawab.
Penulis percaya, sebagai manusia yang normal tubuh badan nya tentu kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada individu yang tidak ambil peduli tentang nasib dan hak-hak golongan ini.
Mereka bukan warga kelas kedua seperti yang dianggap sesetengah masyarakat, sebaliknya mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti masyarakat normal lain.