Premis Perniagaan Di Pasar Lama Rantau Panjang Hampir Kosong Sepenuhnya Mulai Tengah Hari Semalam. RANTAU PANJANG – Peniaga memohon pihak berkenaan menyalurkan bekalan elektrik di Pasar Baharu Siti Fatimah secepat mungkin. Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 41, berkata, pihak berkenaan menggesa peniaga berpindah namun sehingga ke hari ini, bekalan elektrik masih belum beroperasi. Menurutnya, ini menyebabkan peniaga tidak dapat mengemas premis seterusnya menjalankan urus niaga mengikut jadual. “Kami dah bayar kos penyambungan elektrik sebanyak RM1,110 tetapi kenapa sampai sekarang belum ada elektrik. “Mereka gesa kami pindah awal, sepatutnya semua kemudahan siap sedia sebelum arah kami tutup kedai di Pasar Lama Rantau Panjang,” katanya. Tinjauan Sinar Harian mendapati, hanya sebahagian kecil peniaga masih mengemas dan mengosongkan Pasar Lama ke Pasar Baharu Siti Fatimah di saat-saat akhir, semalam. Hampir semua premis di Pasar Lama dikosongkan malah ada sebahagiannya membawa rak kayu yang masih elok untuk diletakkan ke dalam Pasar Baharu. Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 41, berkata, dia mula mengemas premis perniagaan sejak dua hari lalu. Menurutnya, dia risau sekiranya masa yang ada tidak mencukupi sekali gus menyebabkan dia mengalami kerugian sekiranya disita pihak penguat kuasa. “Saya amat berharap dapat berniaga pada hari terakhir di sini kerana masih ramai pengunjung tidak menyedari kawasan ini akan dirobohkan esok (hari ini) tetapi terpaksa akur dengan arahan pihak penguat kuasa. “Hampir semua kedai kosong sedangkan kehadiran pengunjung lebih ramai ketika hujung minggu,” katanya.
|
ADVERTISEMENT