PUTRAJAYA - Kesatuan Pegawai-pegawai Penguatkuasa Malaysia (KPPM) meminta orang ramai dan pihak media tidak menuding jari kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam isu penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi yang seolah-olah mereka bersekongkol dengan sindiket.
Presiden KPPM Rus Bakarurraini Shahfei dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan agar jangan mudah membuat tuduhan terhadap penguat kuasa secara melulu tanpa fakta dan dokumen sahih.
"Walaupun tidak dinyatakan secara khusus mengenai penglibatan penguat kuasa KPDNKK, namun tuduhan dan anggapan seperti ini adalah tidak adil terhadap pegawai penguat kuasa," katanya.
Rus Bakarurraini menegaskan bahawa semua pegawai penguat kuasa terutamanya yang bertugas di KPDNKK berada pada tahap integriti tertinggi, kukuh dan tidak mudah tergugat dengan amalan rasuah dan sogokan.
"Kini seluruh anggota penguat kuasa bekerja keras memerangi pelbagai kegiatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak, terutamanya berkaitan penyeludupan diesel.
"KPDNKK telah melancarkan Ops Titik pada 15 Mei lalu untuk memerangi aktiviti penyeludupan diesel. Setelah 25 hari, sebanyak 124 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM5,391,278.03," katanya.
Rus Bakarurraini berkata sebagai satu entiti yang bertanggungjawab dengan keselamatan, imej dan integriti serta kedaulatan negara, KPPM memandang serius dakwaan penguat kuasa terlibat dalam penyelewengan.
Beliau berkata KPPM sedia memberikan sokongan sepenuhnya supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membuat siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap dakwaan penguat kuasa yang terlibat dengan aktiviti pemborong yang memberi rasuah.
"Sekiranya siasatan perlu dilakukan, saya berharap agar SPRM membuat siasatan menjurus kepada kenyataan akhbar penulis yang menuduh secara terus terhadap penguat kuasa mengambil rasuah daripada pemborong.
"KPPM menegaskan tidak akan menyebelahi pegawai dalam kesatuan ini atas kesalahan yang dilakukan," katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|