Dengan hormatnya saya diarah merujuk kepada aduan tuan berhubung “JPJ HARUS MESRA PENGGUNA BERHUBUNG ISU CERMIN GELAP”. Sukacita dimaklumkan bahawa, Jabatan ini mengambil maklum dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan tuan dalam isu cermin gelap. Untuk makluman tuan, peraturan mengenai cermin gelap diperuntukkan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991. Di dalam kaedah tersebut menyatakan bahawa cermin hadapan perlu telus cahaya sebanyak 70% tetapi 20% daripada bahagian paling atas cermin hadapan tersebut adalah dikecualikan manakala cermin-cermin sisi hadapan dan belakang serta cermin belakang perlu telus cahaya sebanyak 50%. Ini bermakna, pemilik-pemilik kenderaan dibenarkan untuk menggelapkan cermin kenderaan mereka tetapi mengikut kadar ketelusan cahaya sebagaimana yang ditetapkan.Sebagai makluman tuan, peraturan cermin gelap yang diguna pakai di peringkat antarabangsa adalah di bawah Reg.43 UNECE. Peraturan ini memperuntukkan cermin hadapan perlu telus cahaya sebanyak 75% dan tiada pengecualian kepada mana-mana bahagian kaca hadapan tersebut, cermin sisi pemandu dan sebelah pemandu perlu telus cahaya sebanyak 70% manakala cermin sisi belakang dan cermin belakang tidak dinyatakan tahap ketelusan cahaya kerana ia bergantung kepada persetujuan pengeluar kenderaan tersebut untuk meletakkan tahap ketelusan. Biasanya ia di nyatakan dengan simbol V. Contohnya: V30 bermakna tahap ketelusan yang dipersetujui oleh pengeluar kenderaan tersebut adalah sebanyak 30%. Untuk makluman tuan juga, di negara-negara yang menjadi ahli kepada WP29 (World Harmonization For Vehicle Regulation) iaitu yang mengguna pakai Reg.43 UNECE, pengeluar kenderaan adalah bertanggungjawab kepada tahap ketelusan cahaya dan juga bertanggungjawab sekiranya berlaku kemalangan akibat daripada cermin gelap yang dipersetujuinya. Oleh sebab itu, terdapat perjanjian yang ditandatangani bersama di antara pengeluar kenderaan dan pihak insuran mengenai fasal kemalangan yang diakibatkan oleh cermin gelap tersebut. Malaysia telah pun menjadi ahli kepada WP29 tersebut dan telah menerima pakai peraturan-peraturan tersebut secara berperingkat. Di dalam perkara berhubung cermin gelap, Malaysia masih belum dapat melaksanakan peraturan tersebut sebagaimana negara-negara luar kerana pengeluar kenderaan masih belum ada perjanjian bersama dengan pihak insuran berkenaan fasal kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap kadar ketelusan cermin gelap.Berhubung perkara ada pihak yang dibenarkan untuk memasang cermin gelap, di dalam kaedah-kaedah kenderaan motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991 ada memperuntukkan mengenai pengecualian terhadap kenderaan yang digunakan untuk Yang di Pertuan Agong dan Permaisuri Agong, Sultan dan Sultanah, Hakim Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi, pegawai polis atau pegawai tentera yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara atau Ketua Turus Angkatan Tentera. Kaedah tersebut juga memperuntukkan kuasa kepada Menteri untuk memberi pengecualian secara bertulis kepada mana-mana orang. Menteri Pengangkutan telah membuat garis panduan bahawa sesiapa yang memenuhi syarat dan benar-benar perlu boleh diberi pengecualian daripada peraturan kaca gelap. Faktor-faktor yang akan dipertimbangkan adalah berdasarkan isu keselamatan dan kesihatan.Bagi faktor keselamatan, pemohon perlu menulis surat kepada Ketua Polis Negeri mereka dan membuktikan terdapat isu keselamatan terhadap diri mereka atau keluarga mereka kerana kedudukan, pangkat, harta, persengketaan atau pernah menerima ancaman dan sebagainya. Di atas sokongan daripada Ketua Polis Negeri, Ketua Pengarah JPJ akan mempertimbangkan permohonan untuk kelulusan sebagaimana arahan daripada Menteri. Bagi faktor kesihatan pula, pemohon perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai penyakit yang tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari sama ada penyakit mata atau kulit dan sedang mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan dan laporan perubatan disahkan oleh doktor pakar di dalam bidang yang berkenaan. Penyakit yang dinyatakan mestilah merupakan salah satu penyakit yang terdapat di dalam senarai yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan tergolong dalam penyakit yang tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari bagi membolehkan permohonan tersebut dipertimbangkan untuk kelulusan. JPJ sememangnya mesra pengguna berhubung cermin gelap kerana apabila sesuatu kenderaan dikesan menggunakan cermin gelap, pemilik hanya diberi Notis PG1 iaitu notis larangan penggunaan kenderaan bagi membolehkan pemilik menanggalkan filem/plastik hitam atau menukar kepada cermin cerah dalam masa sepuluh hari. Kenderaan tersebut perlu dibawa ke mana-mana JPJ berhampiran bagi mempastikan pemilik telah mematuhi peraturan dan membolehkan notis larangan ditarik balik. Notis saman tidak dikeluarkan kepada pemilik yang dikesan menggunakan cermin gelap kecuali kepada pemilik yang enggan mematuhi notis larangan tersebut. Untuk makluman tuan juga, Jabatan Pengangkutan Jalan pernah berhasrat untuk menurunkan kadar ketelusan di mana cermin hadapan perlu telus cahaya sebanyak 70% manakala cermin-cermin sisi hadapan dan belakang serta cermin belakang perlu telus cahaya sebanyak 40%. Namun demikian, setelah Menteri Pengangkutan mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, banyak isu-isu penguatkuasaan yang perlu dipertimbangkan dan ditangani sekiranya kadar ketelusan sedia ada diturunkan. Di antara isu yang di bangkitkan adalah: (a) Menyukarkan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam usaha menangani jenayah terutamanya yang melibatkan rompakan bersenjata, curi kenderaan, penculikan dan sebagainya. Cermin kenderaan yang terlalu gelap tentunya akan mendatangkan kesusahan kepada pihak PDRM di dalam tugas mereka mengenal pasti identiti pemandu dan penumpang serta barangan yang dibawa. b) Menimbulkan kesusahan untuk mengesan pesalah-pesalah trafik terutamanya yang tidak memakai tali pinggang keledar keselamatan, pemandu dalam keadaan mabuk, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, memandu sambil meriba bayi atau anak kecil dan sebagainya. c) Menyebabkan bahaya kepada pemanduan dan keselamatan di jalan raya kerana cermin gelap boleh mengelirukan pandangan sebenar pemandu terutamanya sewaktu hujan lebat dan pada waktu malam khususnya di tempat-tempat yang tidak mempunyai lampu jalan yang mana boleh mengakibatkan kemalangan. Kajian mengenai keselamatan pemanduan yang dilakukan oleh institusi-institusi keselamatan jalan raya diperingkat antarabangsa mendapati bahawa dalam keadaan biasa terdapat “blind spot” di mana pemandu tak dapat melihat kenderaan yang berada di lorong sebelah belakang kenderaannya, apa lagi jika kenderaan bercermin gelap. Pemandu yang memandu dibelakang kenderaan yang bercermin gelap juga akan jadi resah kerana tidak nampak apa yang ada di hadapan. (d) Menggalakkan berlakunya pecah kenderaan terutamanya kenderaan mewah yang bercermin gelap kerana penjenayah mungkin beranggapan ada sesuatu yang berharga yang diletakkan di dalam kenderaan.Mengenai usul tuan tentang kesalahan-kesalahan lain yang mengundang kepada kemalangan jalan raya seperti tayar botak serta sikap pemandu sememangnya menjadi kesalahan utama yang dikenakan mata demerit dan boleh menyebabkan pemandu digantung atau dibatalkan lesen memandunya. Modifikasi terhadap enjin tanpa kelulusan juga merupakan suatu kesalahan di bawah peraturan Kaedah-kaedah Pembinaan dan Kegunaan.Untuk makluman tuan seterusnya, JPJ tidak pernah memberi kelulusan kepada bas ekspres untuk memasang cermin gelap. Peraturan yang sama adalah terpakai kepada bas ekspres. Sebelum ini, Kementerian Pelancongan meminta kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk tidak mengambil tindakan ke atas bas-bas ekspres sempena tahun melawat Malaysia yang di lanjutkan sehingga tahun lepas. Mengenai perbandingan dengan negara-negara maju, mereka di iktiraf sebagai negara maju bukan sahaja kerana kemajuan perindustrian dan ekomoni, malah kerana sikap dan mentaliti rakyat mereka juga adalah jauh lebih tinggi dari negara-negara membangun seperti Malaysia. Contohnya, di Jepun dan Eropah, kesedaran mengenai keselamatan sememangnya menjadi perkara utama di dalam kehidupan harian mereka. Pemandu akan memakai tali pinggang keledar keselamatan sebaik sahaja bersedia untuk memandu, anak-anak mereka dididik untuk memakai tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk belakang dan ia telah diimplimentasikan semenjak tahun 70-an tanpa perlu dikuatkuasakan oleh badan penguatkuasa trafik kerana mereka mempunyai kesedaran mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan. Berbeza keadaannya di Malaysia di mana pemandu dan penumpang hanya akan memasang tali pinggang keledar keselamatan apabila ternampak anggota JPJ atau Polis. Di Eropah malahan juga Singapura, setiap kenderaan mempunyai alat seperti ‘smart tag’ yang ada di negara kita cuma tol mereka tidak mempunyai palang dan tiada siapa yang melakukan kesalahan melepasi tol tersebut jika tidak mempunyai ‘smart tag’ , senario ini amat berbeza sekali dengan negara ini. Ia adalah disebabkan rakyat di negara mereka sentiasa mematuhi setiap undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Untuk menuju ke arah itu rakyat Malaysia perlulah menanamkan sikap dan mentaliti yang sebegitu juga. Untuk makluman tuan, Jabatan ini menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 serta Kaedah-kaedah di bawahnya, yang mana ianya telah digubal setelah dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta telah dipersetujui sebelum diwartakan menjadi undang-undang. JPJ sentiasa mengkaji dan mengemaskini Akta dan Kaedah selari dengan keperluan dan kehendak semasa. Mengenai persoalan ‘nombor spray’ atau ‘nombor tidak timbul’ yang tuan utarakan, kenderaan Singapura menggunakan teknik yang mana nombor di emboss di atas plat dan ianya timbul. JPJ juga sedang mengkaji untuk melaksanakan sistem plat pendaftaran seperti Singapura dalam usaha memperketatkan penguatkuasaan sepertimana yang dilaksanakan oleh Singapura. Sekian terima kasih. Bahagian Penguatkuasa, Ibu PejabatJabatan Pengangkutan Jalan Putrajaya.
|
Berbeza keadaannya di Malaysia di mana pemandu dan penumpang hanya akan memasang tali pinggang keledar keselamatan apabila ternampak anggota JPJ atau Polis.
TuntungReturn posted on 21-5-2014 09:56 AM
lahir kt mlaysia..mmg org mlysia.alasan cermin gelap sebab cuaca panaslol
jahcomel posted on 21-5-2014 09:55 AM
kalu pakai cermin gelap nnti pnjahat culik org...org kt dlm 2 duk mronta2 mntak tolong xde sorang pn ...
NIXAR posted on 21-5-2014 10:16 AM
aritu masa KLIMS'13 aku tanya dgn 1 company buat tinted ni pasal cermin gelap. dia kata jgn salah fa ...
totokreturn posted on 21-5-2014 10:04 AM
Naper tak jalankan penguatkuasaan tegas kat kedai2 accessories dan saman cina2 kedai accessories yg ...
mjla posted on 21-5-2014 10:18 AM
Keta Pak Menteri dan org2 yg kononye kaya tak plak ko nak saman.
Rakyat yg bwk keta plotong, maib ...
tobby posted on 21-5-2014 09:43 AM
hahaha ... in Aussie....You a NOT even allowed to tint the front of your windscreen...makes sense no ...
ADVERTISEMENT