KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan akan mengetatkan pengambilan pelajar antarabangsa bukan sahaja disebabkan masalah militan bahkan penyalahgunaan pas pelajar untuk kegiatan lain seperti bekerja dan pelacuran.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, menerusi pengenalan i-Kad, pergerakan pelajar antarabangsa di negara ini dapat dikesan bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang dan garis panduan kementerian.
"Menerusi sistem Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen akan memperkenalkan I-Kad itu sebagai kad pengenalan rasmi untuk pelajar antarabangsa.
"i-Kad yang akan diperkenalkan pada 1 Julai depan akan memudahkan pelajar antarabangsa tanpa perlu membawa pasport ke mana-mana dalam negara kita," katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Antara wakil Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut penahanan lelaki warga Somalia yang didakwa salah seorang anggota kumpulan militan Al-Syabab yang disyaki menyusup ke negara ini menggunakan visa pelajar dan mendaftar di kolej tempatan.
Penahanan lelaki asing berusia 34 tahun itu merupakan individu yang dikehendaki oleh polis antarabangsa (Interpol) kerana disyaki anggota pengganas di Selangor.
Mengulas lanjut, Idris menambah, EMGS menerima sebanyak 12,850 permohonan baru pada suku pertama tahun ini, namun katanya hanya satu peratus yang diluluskan.
"Sebanyak 11,336 permohonan telah diluluskan dan ia merupakan 31 peratus daripada sasaran 36,000 pelajar antarabangsa baharu tahun ini," katanya lagi.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|