Polis menuduh Farid Sheikh dan ibu bapanya menuang minyak tanah ke atas wanita berusia 25 tahun yang mengandung tujuh bulan itu dalam cubaan memeras harta, termasuk motosikal dan kerbau dari keluarganya. “Ketika kejadian bulan lalu, mereka membawa mangsa ke India untuk dirawat dengan berkata wanita itu kemalangan,” kata jurucakap polis Prem Basnyat kepada AFP. Selepas keadaannya bertambah teruk dan mengalami keguguran, bapa mangsa mengetahui perkara sebenar dan meminta polis memfailkan tuduhan jenayah ke atas keluarga besannya di daerah Banke, barat Nepal. “Kami merakamkan kenyataannya semalam (Isnin), tetapi suami dan bapa mentuanya melarikan diri. “Kami menjalankan operasi memburu mereka,” kata Bansyat. Kumpulan hak asasi manusia tempatan berkata, mereka membawa mangsa ke sebuah hospital di Kathmandu. Wanita itu kini berada dalam keadaan kritikal dengan seluruh bahagian bawah badannya berbalut. Mangsa menceritakan bagaimana suaminya “menderanya setiap hari kerana tidak memberikan mas kahwin. Suaminya turut mencucuh rokok pada kemaluannya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan. Aktivis Nepal telah lama menggesa supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah keganasan berkait dengan mas kahwin. Mereka berkata, tradisi pengantin perempuan memberikan hadiah dan bayaran kepada suami dan keluarganya supaya perkahwinan boleh dilangsungkan masih lagi diamalkan di negara seperti Nepal, India dan beberapa yang lain walaupun ia sudah diharamkan secara rasmi.
|
ADVERTISEMENT