Lebih 30 juta unit telah terjual di peringkat global sejak ia mula diproduksi pada tahun 1974 iaitu empat dekad yang lalu. Kecemerlangan dan kegemilangannya kerap kali diperkata, antaranya menjadi antara model hatchback yang paling laku jualannya di dunia. Itulah kelebihan yang ada pada si cilik Volkswagen (VW) Golf. Dianggap sebagai ikon dan trend-setter, VW Golf telah dikeluarkan dalam beberapa siri enjin. Antaranya enjin turbo, elektrik, hibrid dan enjin konvensional iaitu pancitan terus bahan api. Mengimbas semula sejarah kelahirannya, siri pertama Golf mula diproduksi pada 29 Mac 1974 di Wolfsburg. Ia telah menjadi penyambung kejayaan kereta ikonik penuh lagenda, Beetle. Direka bentuk oleh Giorgio Giugiaro dan Volkswagen Design, Golf pantas menerima perhatian umum. Pada tahun 1976, Golf GTI pertama diperkenalkan, diikuti oleh Golf D yang dijanakan oleh enjin diesel, dan kemudian Golf GTD (berenjin turbodiesel pada tahun 1982). Tahun 1979, Golf Cabriolet pula diperkenalkan sebagai ‘open car’ yang menjadi idaman ramai. Tahun 1991, generasi ketiga Golf diproduksi dan merupakan siri pertama yang dilengkapi dengan beg udara. Model demi model Golf diperkenalkan, dan pada 4 September 2012, VW memperkenalkan generasi ketujuh Golf pula. Terbaru, VW dikatakan bakal memperkenalkan Golf GTE3 baharu pada musim luruh ini yang menggunakan sistem plug-in hybrid dan mod elektrik. Nampak gayanya sejarah kegemilangan Golf takkan terhenti selagi ia menjadi antara kereta idaman dunia. Sering kali merangkul anugerah ‘Kereta Tahunan Dunia’, Golf yang sudah pun memasuk fasa ‘sangat-matang’ ini pastinya akan terus menggilap lebih banyak teknologi terkini bagi menyambung legasinya. Selamat ulang tahun ke-40, Golf!
|
ADVERTISEMENT