PEMBENTUKAN KABINET YANG PERTAMA SELEPAS MERDEKATarikh peristiwa: 23 Ogos 1959
Pada hari ini
23.8.1959, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pemimpin Kebangsaan
Parti Perikatan iaitu Parti UMNO, MCA, MIC, telah membentuk kabinetnya
yang pertama selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka. YTM Tunku telah
mengangkat sumpah pada 22.8.1959 mengambil alih semula jawatan Perdana
Menteri daripada Dato Abdul Razak bin Hussein yang telah menyandang
jawatan itu semasa Tunku bercuti selama 3 bulan untuk menjalankan kempen
pilihanraya. Pembentukan kabinet pertama ini adalah hasil kemenangan
Parti Perikatan dalam pilihanraya 19 Ogos, 1959. Semua menteri dalam
kabinet Persekutuan yang dibentuk pada tahun 1959 telah dilantik semula
kecuali Kolonel H.S. Lee Menteri Kewangan kerana tidak bertanding
sebagai calon dalam pilihanraya dan Encik Mohd. Khir Johari yang
bertanding di kawasan Kedah Tengah dimana kawasan ini telah ditangguhkan
pilihanraya kepada 30 September, 1959. Seramai 11 orang ahli Kabinet
telah dilantik. Mereka ialah:-
YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab untuk kemajuan kampung-kampung.
Dato' Abdul Razak bin Hussein dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Encik Tan Siew Sin Menteri Kewangan menggantikan Kolonel Sir. H.S. Lee.
Encik Sulaiman bin Dato' Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keadilan.
Encik Abdul Aziz bin Ishak, Menteri Pertanian dan memangku Menteri Pelajaran.
Encik
Abdul Aziz memangku jawatan Menteri Pelajaran sehingga 3 Oktober, 1959
apabila Encik Mohd Khir Johari yang memenangi pilihanraya di Kedah
Tengah dilantik menjadi Menteri Pelajaran.
Encik Sardon bin Hj. Jubir, Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom.
Encik Ong Yoke Lin, Menteri Buruh, Sosial dan Kebajikan.
Encik Bahaman bin Shamsuddin, Menteri Hasil Bumi.
Encik Abdul Rahman bin Hj. Talib, Menteri Pengangkutan dan Encik V.T. Sambanthan, Menteri Kesihatan.
Pembentukan
kabinet pada hari ini dalam tahun 1959 adalah satu detik dan peristiwa
yang amat bersejarah kepada Persekutuan Tanah Melayu kerana inilah
pembentukan kabinet yang pertama selepas Persekutuan mencapai
kemerdekaan. YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj selaku Ketua Kabinet
dan Perdana Menteri berikrar bahawa kerajaan pimpinannya akan berusaha
untuk:-
- Memimpin rakyat Persekutuan Tanah Melayu ke arah membina satu bangsa yang tulin.
- Menghimpun
dan menggembelingkan segala usaha dan tenaga bagi memajukan negara ini
dan menambahkan kemakmuran kawasan-kawasan kampung serta menghapuskan
segala macam bentuk percubaan Parti Komunis Malaya yang hendak
menggulingkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan pilihan
rakyat.
- Menjalankan
ikhtiar supaya negeri-negeri di Asia Tenggara dapat bekerjasama dengan
rapat dan dapat mencapai faedah bersama terutama dalam bidang ekonomi,
sosial dan sains.
sumber: http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=1865