oleh Adib Za
Sebagai ibu bapa, memang jadi kewajipan untuk mengajar anak-anak perkara yang baik. Perkara yang tidak baik pula dijadikan sempadan dan pengajaran.
Namun, tak manislah jika pekerjaan orang diperlekehkan di hadapan anak sendiri, dengan harapan anak anda menjadi lebih rajin.
Seperti yang dikongsikan oleh netizen ini, dia tak menyangka seorang ibu sanggup memarahi anaknya yang berdegil untuk tidak ke sekolah, dengan merendah-rendahkan pekerjaan seorang penjual nasi lemak.
Sudahlah cakap tanpa bertapis, dengan tidak memikirkan perasaan orang lain dan juga hanya ingin kemahuannya sahaja diikuti.
"Abang!! Janganlah buat mama camni. Kalau abang tak nak pergi sekolah, nanti abang jadi bodoh, mama tak tahu. Nanti abang jadi macam pakcik ini, kena jual nasi lemak setiap hari.
"Abang nak jadi macam tu?" ujar wanita itu yang kononnya sedang mengajar anak.
Tidak salah menggalakkan anak menjadi seorang yang berguna namun cara dengan memijak orang lain atau merendahkan pekerjaan orang lain sangat tidak wajar ya.
Adakah anda benar-benar yakin menjadi penjual nasi lemak itu tidak bagus dan bodoh orangnya? Walaupun dianggap tidak bijak, namun dengan orang itu jugalah kita sering membeli nasi lemak, mengenyangkan perut anak-anak. Betul?
Kepada ibu bapa, jadilah ibu bapa yang menunjukkan contoh yang terbaik buat anak-anak tanpa memalukan dan merendah-rendahkan orang lain. Banyak lagi pendekatan lain untuk mengajar anak anda. - CARI Infonet

Gambar hiasan. Sumber foto: carian google
|