ASSAM, INDIA 6 April - Lima sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan hari, terbunuh akibat dipijak oleh seekor gajah yang mengamuk di sebuah perkampu­ngan terpencil di Behali, timur laut India, pagi semalam. Mangsa yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan tiga anak mereka termasuk bayi perempuan berkenaan mati dipijak, semasa mereka sedang tidur dalam pondok yang terletak dalam hutan Behali kira-kira 258 kilometer dari Guwahati, ibu negeri Assam.
Namun, seorang lagi anak pe­rempuan mangsa berusia tiga tahun terselamat dan kini dirawat di hospital akibat mengalami ce­dera ringan. Menurut laporan Dailymail.com, pegawai perhutanan daerah, Rajiv Chaudhary berkata, gajah ber­kenaan dipercayai terpisah daripada kumpulannya semasa merempuh pondok berkenaan dan mening­galkan tempat kejadian selepas insiden itu.
Menurut pakar hidupan liar, kemalangan melibatkan manusia dan haiwan semakin meningkat di kawasan pedalaman India akibat pemusnahan habitat haiwan terlibat.
Pada bulan lalu, sekumpulan gajah liar naik minyak selama sejam di Bengal Barat menyebabkan lima orang terkorban dan beberapa rumah serta kenderaan rosak. Haiwan berkenaan berjaya di­tenangkan setelah ditembak de­ngan ubat pelali.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.eaYC11zU.dpuf
|