LOS ANGELES 24 Mac – Gara-gara geram dengan pihak pengurusan sebuah restoran sushi, seorang pelanggan dari Jepun melepaskan seekor ular sawa sepanjang 3.9 meter sebagai tip selepas bertengkar dengan beberapa kakitangan restoran itu.
Menurut portal NDTV, kejadian terbabit berlaku di restoran popular Irosha Shushi of Tokyo di Los Angeles hujung minggu lalu apabila pelanggan berkenaan, Hiroshi Motohashi menunjukkan seekor ular kecil miliknya kepada beberapa orang kanak-kanak selepas menghabiskan hidangan bernilai AS$200 (RM798).
Perbuatannya itu membuatkan pelanggan lain rasa kurang senang dengan kehadiran ular terbabit, sekali gus mengadu kepada pihak pengurusan restoran yang kemudiannya bertindak menghalau Motohashi.
Jurucakap polis, Aareon Jefferson berkata, lelaki berusia 46 tahun itu kemudiannya meninggalkan restoran itu sebelum kembali dengan ular sawa yang besar dan melepaskan reptilia tersebut ke dalam kedai makan berkenaan.
“Perbuatan suspek menyebabkan pelanggan lain terkejut dan bertempiaran lari, tetapi tiada orang cedera. “Motohashi ditahan kerana tuduhan melakukan ancaman kepada orang lain,” kata Jefferson.
Suspek dibebaskan dengan ikat jamin AS$50,000 (RM199,535) dan itu bukan kali pertama Motohashi melakukan kesalahan membabitkan haiwan eksotik. Pada 2005, dia dikenakan hukuman 15 tahun penjara kerana menjual biawak gergasi tanpa permit.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/ ... thash.BGl8jsMD.dpuf
|