Sumbangan Akademik Aktivis Cambahkan Ilmu Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz.
Peranan akademik ialah menggali ilmu dan mencerahkan ilmu bagi tujuan bermanfaat. Daripada ilmu itu juga dibina sesuatu yang baharu dan baik; menyatakan yang benar dan membetulkan yang salah. Tujuan ilmu yang luhur ialah mendekatkan diri manusia kepada al-Khaleq. Al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumiddin menulis, “pendidiklah yang bekerja menyempurnakan, membersihkan, mensucikan dan membawakan hati itu mendekati Allah ‘Azza wa jalla”.
Walaupun merujuk kepada peranan pendidik, sudah tentu ia merangkum semua mereka yang mempunyai ketinggian ilmu. Dalam istilah semasa ia merangkum ahli akademik, para pensyarah atau para ilmuwan yang berada dan sedang menyumbang ilmu di peringkat tinggi, kata orang lama, menara gading.
Dalam menyampaikan ilmu, tidak kira kepada siapa ilmu itu ditujukan, asal ia memberi manfaat, maka seseorang itu dikatakan telah memberikan manfaat ilmu. Sumbangan ilmu bukan semata-mata terikat kepada tulisan yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal terbitan antarabangsa atau mana-mana penerbitan ekslusif sahaja.
Akademik yang menulis bahan ilmiah dengan pendekatan popular (diistilahkan sebagai ilmiah popular) dan berkongsi ilmu dengan khalayak awam serta pembuat polisi menghadapi cabaran besar dalam menyampaikan manfaat ilmu. Adakalanya cabaran yang dihadapinya itu lebih besar daripada menyampaikan syarahan di dewan kuliah atau membuat kajian dalam dunia atau disiplinnya atau menerbitkan karya dalam jurnal-jurnal.
Akademik yang berada di ruang ilmiah popular lebih bersifat aktivis (saya pendekkan sebagai akademik aktivis). Akademik aktivis ini dimaksudkan sebagai akademik yang aktif dalam masyarakat. Akademik aktivis ini bukan sahaja memerlukan kebolehan ilmiah yang tinggi, tetapi juga perlu memantapkan kreativiti dalam menyampaikan ilmu yang tinggi kepada khalayak yang terdiri daripada pelbagai lapisan, dimensi dan persepsi.
|