Edited by Pandulaju.com at 9-3-2016 10:05 AM
RAMAI orang bertanya, berapa kos sara kereta yang sebenar? Nasihat pakar kewangan, jangan beli kereta baharu kerana ia satu bentuk pelaburan susut nilai.
Komitmen hutang bank kekal bertahun lama, sedangkan kondisi kereta dan nilai jual semula (resale value) merosot sebaik saja keluar bilik pameran.
Kata pakar-pakar itu lagi, kalau terpaksa juga beli kereta, carilah kereta terpakai yang murah bayaran ansurannya.
Ini kerana membeli kereta bukan saja tentang kemampuan anda melangsaikan ansuran bulanan, tetapi juga kos senggara, baik pulih dan petrol. Jika anda membayar ansuran Perodua Myvi lebih kurang RM550 sebulan, anda sebenarnya turut menanggung kos-kos lain.
Sekarang, PanduLaju akan bantu anda merangka dan merancang serta membuatkan anda berfikir anggaran kasar kos sara kereta anda menggunakan Perodua Myvisebagai contoh kajian. Setiap kos berbeza mengikut jenis kereta, kekerapan penggunaan dan gaya pemanduan. Selamat berkira-kira!
1. PETROL Anggaran isian minyak penuh Myvi ialah RM55 (pada harga petrol RM1.60/liter). Jika memandu normal dalam kelajuan 60-80kmj bagi jarak perjalanan 60km sehari, penggunaan petrol mampu bertahan selama tujuh hari (Isnin – Ahad) dengan sekali isian penuh.
Jarak 60km ialah anggaran ulang-alik dari KL-Shah Alam yang menjadi jarak rutin biasa warga Lembah Klang.
Kos petrol ialah: RM55*4 minggu = RM220/bulan atau RM2,640/tahun.
NOTA: Kos petrol berubah mengikut jarak anda berkereta dari rumah ke tempat kerja, dan cara pemanduan. Memandu di atas 100kmj membuatkan kos petrol meningkat.
2. SERVIS Mengambil kira tempoh servis 3 bulan sekali, ini bermakna kereta anda perlu disenggara sebanyak empat kali dalam setahun dan satu daripadanya ialah servis major. Andaikan purata servis biasa, RM150/servis dan servis major RM300.
Kos servis ialah: RM150/servis biasa * 3 kali = RM450 + RM300 (servis major) = RM750/tahun.
Jika dibahagikan mengikut bulan, anda sebenarnya memperuntukkan kira-kira RM62.50/bulan untuk kos senggara.
3. CUKAI JALAN & INSURANS Walaupun cuma setahun sekali, jangan pula dilupakan belanja cukai jalan (RM70) dan insurans (anggaran purata RM700) untuk setahun. Kos cukai jalan & insurans = RM770/setahun atau RM65/bulan.
4. LAIN-LAIN Perbelanjaan ‘lain-lain’ ini ialah kos sampingan yang perlu anda keluarkan bergantung kepada ragam kereta anda. Misalnya, belanja cuci dan gilap kereta, tukar mentol lampu, ganti bilah pengelap (wiper) dan beli pewangi.
Tidak perlu banyak, anggarkan saja kos lain-lain = RM20/bulan atau RM240/tahun.
BERAPA BELANJA BAYARAN BULANAN Inilah kos bulanan kereta anda:
Ansuran bank = RM550
Petrol = RM220
Servis = RM62.50
Cukai jalan & insurans = RM65
Lain-lain = RM20
JUMLAH KESELURUHAN = RM917.50#
Sekali lagi kami ingatkan. Ini cuma anggaran kasar mengikut jenis kereta, jarak penggunaan dan gaya pemanduan yang pastinya berbeza. Anggaran yang dibuat adalah berdasarkan model Perodua Myvi dengan jarak pemanduan lebih kurang 60km/hari dalam gaya pemanduan normal (60-80kmj).
Ini juga bukan belanja yang perlu anda keluarkan setiap bulan kerana sesetengah kos diperlukan dalam tempoh bulan tertentu. Misalnya, kos servis perlu dibelanjakan 3 bulan sekali (mungkin kurang atau lebih), manakala kos cukai jalan dan insurans setahun sekali.
Anda mungkin kurang berbelanja pada bulan 1 dan 2, tetapi perlu berbelanja lebih pada bulan 3. Namun hakikatnya, ia tetap kos yang perlu anda belanjakan walaupun gaji anda mungkin ditampung bonus tahunan, elaun, atau komisen lain.
Jika gaji anda RM3,000 sebulan, anda sebenarnya sedang membelanjakan sepertiga gaji anda secara tidak sedar. Dari segi realiti kewangan, itulah kos sebenar sebuah kereta yang perlu anda tanggung setiap bulan.
Jadi, berjimat sehabis mungkin ialah langkah terbaik. Selamat merancang kewangan dengan bijak!
SUMBER: Pandulaju.com.my |