Edited by seramado at 1-2-2016 10:15 AM
JAGHORI, Afghanistan: Seorang budak lelaki Afghanistan berusia lima tahun yang tinggal di kawasan sering dilanda pemberontakan menjadi sensasi di Internet apabila gambar-gambar dia memakai 'jersi' Lionel Messi yang dibuat daripada beg plastik menjadi viral.
Murtaza Ahmadi, menjadikan bintang bola sepak Argentina itu sebagai idol.
Namun 'jersi' plastik yang dipakainya itu menunjukkan tahap kemiskinan keluarganya yang tinggal di wilayah Ghazni luar bandar di barat daya Kabul.
Abangnya, Homayoun, 15, yang membuat 'jersi' menggunakan beg plastik yang tertulis nama Messi dengan pen memuat naik gambar-gambar Murtaza di Facebook dua minggu lalu.
"Jiran kami buang beg plastik itu dan Murtaza membawanya kepada saya untuk dijadikan jersi Messi," kata Homayoun, seorang pelajar sekolah tinggi yang meminati pasukan bola sepak Barcelona ​​kepada AFP.
Murtaza Ahmadi bersama 'jersi' yang dibuat abangnya.
Sementara itu bapa Messi, Jorge Messi memberitahu AFP bahawa pemain bola sepak itu menyedari mengenai gambar berkenaan di laman sosial.
Kata Jorge, anaknya itu "mahu melakukan sesuatu" untuk peminat muda berkenaan.
Murtaza, yang bapanya mengakui dia tidak mampu untuk membelikan dia jersi replika berkata, beliau hanya mempunyai bola pancit untuk anaknya itu bermain.
"Kami tidak mempunyai tempat bermain bola, saya hanya main berhampiran rumah kami dan satu-satunya bola yang ada ini sudah pancit.
"Saya suka Messi, dia bermain dengan sangat baik, dan saya suka baju yang abang saya buat untuk saya," kata Murtuza kepada AFP.
Sambil menendang bola kempis di kampung yang dilitupi salji, dia berkata: "Saya mahu menjadi seperti Messi apabila saya besar."
Bola sepak dan kriket adalah dua sukan yang paling popular di negara yang dilanda peperangan itu.
|