CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2648|Reply: 0

Pendidikan Seks Di Sekolah - Isu Yang Masih Belum Selesai

[Copy link]
Post time 21-12-2015 01:13 PM | Show all posts |Read mode
Pendidikan Seks Di Sekolah - Isu Yang Masih Belum Selesai



Beberapa bulan yang lalu, saya telah mewakili IKIM ke satu persidangan meja bundar (satu sesi brain-storming, sebenarnya) mengenai “pendidikan zuriat”. Dari tajuk itu, apa yang terbayang di kepala saya ialah “persidangan” itu akan membincangkan tentang pendidikan anak-anak. Sebagai wakil IKIM, pada jangkaan saya, saya perlu mengenengahkan kandungan serta pendekatan mendidik anak-anak dari perspektif Islam. Saya pun mempersiapkan diri dengan input-input yang saya rasa dapat dimanfaatkan oleh para peserta “persidangan” tersebut.

Apabila “persidangan” itu bermula, barulah saya ketahui bahawa perjumpaan tersebut bukan bertujuan untuk membincangkan tentang pendidikan anak-anak tetapi ia menjurus tentang isu pendidikan seks – perlu atau tidak ia diajar di sekolah?, jika tidak, siapa yang perlu memberi khidmat tersebut?, kandungan pendidikan itu dan seumpamanya.

Nampaknya masyarakat kita begitu sensitif dengan perkataan “pendidikan seks” sehingga istilahnya terpaksa ditukar untuk mengelakkan tentangan dari ahli masyarakat terutamanya ibubapa. Malangnya, pertukaran istilah itu tidak memberikan gambaran sebenar tentang maksud sebenar yang ingin diketengahkan oleh penganjur. Mungkin juga ini berlaku kerana penganjur – mengetahui kepentingan pendidikan seks – sengaja menukar istilah itu agar pendidikan seks akhirnya diterima oleh masyarakat kita. Tetapi, wajarkah pertukaran istilah itu dibuat semata-mata untuk mengaburi mata “orang kebanyakan”? Bagi orang kebanyakan pula, tidakkah anda merasa terhina bila mengetahui bahawa istilah pendidikan zuriat itu sebenarnya pendidikan seks yang ditukar istilahnya bagi menjamin penerimaan masyarakat sekeliling?

Itulah keadaannya dalam masyarakat kita. Setelah bertahun-tahun kita berbincang tentang keperluan mengadakan pendidikan seks di sekolah, ia masih belum diterima sepenuhnya. Walaupun ramai yang mengakui keperluan pendidikan seks kepada anak-anak, tetapi masih ada ibubapa yang marah-marah bila mengetahui pendidikan seks diajar di sekolah.

Kemarahan ini wujud kerana ibubapa bimbang sekiranya anak-anak diajar tentang pendidikan seks, rasa ingin tahu mereka tentangnya akan membuak-buak, lantas dengan ilmu yang mereka perolehi itu, mereka akan mencubanya sendiri.

Walau bagaimanapun, ada ibubapa yang merasa lega jika sekolah dapat memberikan pendidikan seks ini kepada anak-anak mereka. Ini kerana mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya di samping wujudnya rasa malu untuk menerangkan perkara tersebut. Jadi, jika tugas itu dapat diambil oleh pihak sekolah, ibubapa ini amat mengalu-alukannya. Ia bukan sahaja dapat meringankan beban mereka tetapi juga memastikan bahawa anak-anak mendapat ilmu yang berkaitan dari sumber-sumber yang bertangungjawab dan bukannya bergantung kepada majalah, internet atau rakan sebaya.

Kebimbangan tentang anak-anak akan bereksperimen dengan ilmu yang mereka perolehi dari pendidikan seks ini sepatutnya tidak berlaku. Ini terbukti bila mana banyak perkara yang kita belajar di sekolah tetapi ia tidak menyebabkan kita mencubanya. Misalnya, di sekolah kita diajar tentang tenaga elektrik, tetapi tiada seorang murid pun yang bereksperimen dengan perkara ini dengan cara yang boleh memudaratkan mereka. Ini kerana mereka bukan sahaja diajar tentang tenaga elektrik dan kegunaannya, tetapi juga tentang potensinya untuk mendatangkan mudarat. Malah, pelajar juga diajar tentang langkah berjaga-jaga dalam menangani tenaga eletrik agar ia tidak memudaratkan. Dengan ilmu yang menyeluruh tentang sesuatu perkara seperti ini, para pelajar akan terbimbing dengan apa yang boleh dan tidak boleh dalam berhadapan dengan sesuatu elemen yang dipelajari.

Kita sepatutnya melihat isu pendidikan seks ini dari perspektif yang sama. Pendidikan seks bukan hanya mengajar anak-anak bagaimana melakukan hubungan seks. Tetapi ia merangkumi ilmu-ilmu lain yang sehubungan dengannya seperti fungsi reproduktif manusia, penjagaan kesihatan, bila masa yang sesuai untuk melakukannya, kesan-kesan darinya dan berbagai perkara lagi. Dengan mengetahui segala-galanya ini, mereka akan menjadi lebih terbimbing apabila berhadapan dengan seks dan seksualiti.

Termasuk di dalam pendidikan seks ini ialah pengajaran tentang nilai-nilai yang seharusnya wujud bersama hubungan seks tersebut. Misalnya, nilai masyarakat Malaysia bahawa hubungan seks hanya patut berlaku selepas berkahwin, juga hubungan tersebut perlu disertakan dengan rasa kasih sayang, tanggungjawab dan seumpamanya.

Bagi mereka yang menyokong idea agar pendidikan seks diajar di sekolah, selain merasakan ilmu tersebut perlu, mereka juga merasakan jika tidak diajarpun, anak-anak itu akan memperolehnya dari sumber-sumber yang lain seperti internet dan rakan sebaya. Maklumat yang mereka perolehi dari sumber-sumber ini tidak semestinya betul. Ini ditambah dengan hakikat bahawa “nasihat-nasihat” yang datang bersama maklumat tadi, tidak semestinya berguna kepada anak-anak kita. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika anak-anak memperolehi maklumat berkaitan perkara ini dari mereka yang lebih dewasa dan bertanggungjawab.

Ada yang berpendapat bahawa ibubapa adalah orang yang terbaik untuk mendidik anak-anak mereka dengan ilmu ini. Ini kerana selain menerangkan hal-hal yang berkaitan dengan seks, mereka juga menjadi “contoh hidup” (living example) untuk anak-anak tadi. Misalnya, ikatan perkahwinan menghalalkan hubungan seks antara ibu dan bapa; hubungan seks itu pula wujud diiringi dengan nilai-nilai cinta, kasih sayang dan rasa tanggungjawab; hubungan intim itu menghasilkan anak-anak yang bukan sahaja menguatkan kasih sayang antara keduanya tetapi juga yang hadir bersama tanggungjawab-tanggungjawab tertentu; dan sebagai-sebagainya.

Sehubungan dengan isu pendidikan seks ini, Islam melihat orang yang lebih sesuai untuk melakukannya ialah ibubapa sendiri. Dalam buku yang bertajuk Pendidikan Anak-anak Dalam Islam yang ditulis oleh Abdullah Nasir Ulwan, beliau menyebut bahawa pendidikan anak-anak dalam Islam ini meliputi tujuh komponen dan salah satunya ialah pendidikan seks. Adalah menjadi tanggungjawab kedua ibubapa untuk memberikan pendidikan seks ini kepada anak-anak mereka.

Abdullah menyebut bahawa pendidikan seks bermaksud mengajar anak secara berterus-terang sejak ia mula berakal dengan faktor-faktor yang berkait rapat dengan seks. Pendidikan seks ini perlu diberi secara bertahap mengikut perkembangan umur anak-anak. Misalnya, pada usia 7 – 10 tahun anak-anak perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab-adab penglihatan. Pada usia 10 – 14 tahun pula, mereka perlu dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi. Pada usia 14 – 16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab-adab perhubungan seks. Pada usia baligh/dewasa mereka perlu diajar untuk memelihara diri (terutamanya bagi anak-anak yang belum mampu untuk berkahwin).

Di samping itu, saya merasakan Islam juga secara tidak langsung mahu kita mendidik anak-anak dengan pendidikan seks ini melalui syariat-syariatnya yang lain. Misalnya untuk bersembahyang dan berpuasa, kita perlulah suci dari haid dan nifas juga tidak dalam keadaan berjunub. Jadi, mahu tidak mahu, kita perlu menerangkan kepada anak-anak tentang makna perkataan berjunub itu. Sekalipun kita menukarkan bahasa itu ke Bahasa Malaysia iaitu “mengadakan hubungan kelamin”, kita masih perlu menerangkan apa yang dimaksudkan dengan hubungan kelamin itu.

Jadi, kita dapati dalam Islam pendidikan seks itu bukan bertumpu kepada cara-cara melakukan hubungan seks semata-mata tetapi juga banyak perkara lain lagi seperti pemeliharaan diri dari melihat perkara-perkara yang boleh meransang nafsu, juga cara untuk memelihara diri dari melakukan seks di luar perkahwinan, kesucian diri dan sebagainya.

Bagi ibubapa yang merasa tidak selesa untuk membincangkan hal ini dengan anak-anak, belikan mereka buku yang bersesuaian untuk mereka baca (dan kemudian bincangkan bersama). Ini kerana ada banyak perkara yang perlu diketahui oleh mereka berkaitan seks dan seksualiti selain dari cara-cara melakukan hubungan seks. Misalnya, mereka perlu tahu tentang risiko penyakit kelamin yang berjangkit akibat dari hubungan seks yang kasual. Mereka juga perlu tahu tentang penderaan seksual dan rogol serta apa yang perlu dilakukan jika perkara ini berlaku kepada mereka. Ramai kanak-kanak yang masih mentah yang tidak tahu mereka dianiaya secara seksual atau dirogol kerana pengetahuan tentang seks ini tidak pernah didedahkan kepada mereka.

Selain itu remaja juga perlu tahu apa yang terkandung dalam undang-undang berkaitan seks. Misalnya membuat hubungan seks dengan mereka yang di bawah umur adalah dianggap sebagai jenayah rogol. Ramai remaja bawah umur yang melakukan hubungan seks tanpa mengetahui perkara ini. Begitu juga kalau mengikut Undang-undang Jenayah Syariah, ia dianggap sebagai zina dan boleh dikenakan hukuman.

Pada peringkat usia remaja juga, berbagai desakan yang mereka terima dari rakan sebaya mahupun teman lelaki atau wanita mereka sendiri. Misalnya, ramai yang didesak untuk membuktikan cinta dengan mengadakan hubungan seks. Tanpa tempat rujukan yang wajar (ibubapa), remaja mungkin terdorong untuk melakukannya kerana takut kehilangan orang yang mereka cintai.

Jika tidak didesak oleh teman lelaki atau teman wanita, remaja mungkin didesak oleh rakan sebaya. Rakan-rakan memang selalu mencabar atau memberi maklumat yang salah seperti mengatakan “Semua orang dah melakukannya, kamu bila lagi?”. Maklumat-maklumat seperti ini perlu diperbetulkan oleh orang yang lebih dewasa. Dalam menghadapi desakan-desakan ini, para remaja perlu diajar untuk berkata “Tidak mahu”. Dalam banyak keadaan, apabila remaja mula membuka mulut untuk memperkatakan tentang seks, ibubapa terus memarahi mereka. Ini bukanlah jalan yang bijak. Tentu saja rasa marah itu wujud tetapi dengan memarahi tanpa membuka minda mereka tentang mengapa perbuatan itu tidak patut berlaku hanya akan membuatkan remaja menjauhkan diri dan mungkin mengambil keputusan untuk melakukannya.

Jadi ternyata pendidikan seks merangkumi banyak perkara dan bukannya teknik dalam hubungan kelamin semata-mata. Jadi, kita perlu melihat isu ini secara lebih meluas dan terbuka.

Bagi ibubapa yang menghalang pendidikan seks dari diajar di sekolah, kita boleh faham kebimbangan mereka. Namun, untuk merasakan pendidikan seks tidak perlu diajarkan kerana merasakan anak-anak itu akan tahu sendiri, bukanlah satu tindakan yang bijak. Bagi saya, ibubapa ini tidak ada pilihan lain. Sama ada mereka membenarkan ia diajar di sekolah, atau mereka sendiri yang perlu mengajarnya. Jika tidak, memang anak-anak itu akan tahu sendiri tetapi kita bimbang mereka mengetahuinya dari sumber-sumber yang mungkin menjerumuskan mereka ke kancah yang ingin kita elakkan itu.

Lagipula, telah terbukti bahawa tanpa ilmu yang secukupnya ramai remaja yang tersilap langkah dan terpaksa mengakhiri hidup dengan pengalaman yang tidak menyenangkan. Misalnya, ramai pelajar sekolah yang dihidapi AIDS akibat hubungan seks rambang dan ramai juga yang mengandung anak di luar nikah akibat hubungan seks yang tidak sepatutnya berlaku.

Secara peribadi, saya merasakan tentangan hebat yang timbul adalah kerana para ibubapa tidak tahu apa sebenarnya isi kandungan subjek yang dinamakan pendidikan seks ini. Sekiranya mereka tahu, tentulah mereka lebih terbuka untuk menerimanya. Walaupun demikian ia bukanlah satu sebab untuk kita melatah. Sebagai masyarakat yang berilmu, apabila kita ingin menerima atau menolak sesuatu idea, kita perlu fakta yang lengkap. Adalah tidak bijak untuk kita menerima atau menolak sesuatu berdasarkan kepada agakan atau syak wasangka semata-mata.

Di pihak Kementerian Pendidikan pula, penyebaran maklumat tentang perkara ini perlulah meluas. Dalam isu yang sesensitif ini, para ibubapa mahu tahu apakah sebenarnya kandungan pendidikan seks itu – tidak kiralah di mana sahaja ia diselitkan : sebagai satu matapelajaran atau diselitkan dalam mata pelajaran yang lain. Dengan mengetahui kandungan keseluruhan subjek ini, maka barulah ibubapa dapat membuat penilaian yang lebih bijak berkaitan isu ini. Ini juga dapat mengelakkan mereka dari melatah setiap kali anak menceritakan bahawa guru mengajar mereka cara untuk melakukan hubungan seks.

Ketiadaan maklumat ini mungkin sahaja menimbulkan kebimbangan yang tidak wajar. Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada isu sekolah wawasan yang hanya ditentang bila media menyentuh tentangnya sedangkan sekolah wawasan telahpun dilaksanakan di beberapa kawasan dengan jayanya tanpa keluhan mana-mana pihak.

Dengan maklumat yang terang dan jelas serta tersebar meluas, saya merasakan pendidikan seks di sekolah akan lebih diterima dan tidak perlulah kita mengubah istilahnya semata-mata ingin agar pendidikan seks diterima ramai.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-11-2024 04:55 AM GMT+8 , Processed in 0.072300 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list