Apabila lagu “Knock Knock”, nyanyian Elizabeth Tan, diumumkan sebagai calon akhir untuk Anugerah Juara Lagu 30 (AJL30), timbul bisik-bisik yang kurang setuju dengan pencalonan terbabit. Ada pihak yang berpendapat lagu itu tidak layak ke AJL30 memandangkan ada lagu lain yang lebih bagus. Agak-agaknya, apa reaksi pencipta lagu ini? Adakah Faizal Tahir berasa terpukul atau menganggap bisk-bisik itu hanya perkara biasa yang tidak perlu diambil serius? “Sejujurnya, saya sendiri terkejut dengan keputusan yang telah dibuat. “Knock Knock” adalah lagu yang saya langsung tidak jangka akan ke AJL. Bagaimanapun, saya menerima baik keputusan juri-juri itu. Mungkin mereka nampak kekuatan lagu ini. Kalau ada pihak yang menganggap lagu itu tidak layak, saya sedikit pun tidak terasa hati.
Tak terasa hati andai ada yang anggap lagu itu tidak layak“Masing-masing punya pendapat sendiri. Keputusan ini adalah berdasarkan pendapat daripada 10 orang juri profesional yang terlibat. Sebagai pencipta lagu ini, saya menerima keputusan terbabit dengan hati dan fikiran terbuka. Mungkin sudah rezeki saya,” ujar penyanyi yang lagunya turut tersenarai sebagai calon akhir AJL30 menerusi “Asssalamualaikum”. Biarpun begitu, Faizal juga berpendapat, orang ramai tidak seharusnya mempersoalkan keputusan yang telah dibuat memandangkan ia diadili oleh mereka yang sudah berpengalaman dalam industri muzik tempatan.
Mungkin sudah rezekinya“Memang tidak dinafikan semua orang punya pendapat masing-masing. Itu perkara biasa. Tetapi orang ramai harus terima setiap keputusan yang dibuat untuk AJL. Ini kerana ia dihakimi, diadili oleh 10 orang juri profesional yang dipilih daripada generasi dan genre muzik yang berbeza-beza. Bukan mudah untuk membuat keputusan. Jadi kita melihat perkara ini pada sudut positif,” ujar Faizal ketika ditemui pada Khamis. Apabila diminta berkongsi pendapat tentang sistem penjurian AJL ketika ini, Faizal punya pendapat tersendiri. Dia mengusulkan TV3 kembali kepada format lama.
Berpendapat orang ramai tidak patut mempersoalkan keputusan juri“Secara peribadi, saya rasa sudah sampai masanya AJL kembali kepada konsep yang lama iaitu mewujudkan kategori-kategori muzik seperti balada, pop rock, hip hop dan sebagainya. Sudah sampai masanya mengguna pakai format lama memandangkan ia kini lebih relevan. Sebabnya apabila 12 lagu sahaja yang layak ke peringkat akhir, dan juri hanya perlu pilih satu lagu terbaik, ia agak tidak adil untuk lagu-lagu lain. “Katakanlah lagu yang menang adalah lagu dangdut, adakah ini bermakna lagu-lagu genre lain tidak bagus? Jadi adalah lebih bagus kalau ada juara untuk setiap kategori muzik. Daripada juara inilah kita pilih lagu terbaik untuk tahun itu.
Mengusulkan kepada pihak penganjur untuk kembali kepada format lama“Bagaimanapun, ini hanyalah pendapat peribadi saya. Kalau saya diberi peluang untuk mengubah sistem penjurian AJL, ini adalah perkara yang akan saya usulkan. Mungkin orang lain tidak bersetuju. Saya pun tidak kata pendapat saya ini betul,” ujar Faizal yang kini mula terlibat dengan kerja-kerja kebajikan selain sibuk menguruskan syarikat rakaman miliknya, Faithful Music.
|