|
Oleh Adib Za
Bayangkan suatu hari, hobi yang anda lakukan setiap hari menjadi sumber pendapatan anda. Malah, ia mampu menjana ribuan ringgit, mengalahkan duit poket yang didapati daripada kerja tetap anda.
Begitulah, tuah badan, siapa yang tahu, bukan? Apa-apa pun, sebenarnya jika ada kemahuan, pasti ada jalan. Bagi mereka yang masih 'terkandas' di alam pekerjaan, 'tanam anggur' dan sebagainya, apa kata jadikan hobi atau bakat anda sebagai mata pencarian.
Bukan sekali dua, kisah bagaimana seseorang itu berjaya disebabkan hobi mereka ini. Sama ada dalam negara, mahupun mereka yang berada di luar negara sana, peluang untuk berjaya sentiasa terbuka.
Seperti kisah yang bertebaran di internet ini, JT Smith, pengasas The Game Crafter yang sememangnya 'hantu' game, telah menjadi pencetus kepada permainan game miliknya sejak dua dekad yang lalu.
(Sumber foto: Americanexpress)
Ini semuanya bermula apabila dia memerlukan alternatif daripada terus memesan pelbagai jenis game dari China dan India.
Siapa sangka dengan hanya visi menjual 100 game setiap bulan, menjadi 36,000 pada tahun 2013 dan akhirnya dia menjana jutaan ringgit.
Kisah seterusnya ini pula, apabila seorang gadis dari Indonesia, Wiwira Agustin yang mempunyai hobi menyunting foto, kini memiliki kedai 'online' miliknya sendiri.
Dia kini memiliki perniagaan sendiri, Flowira Design yang membuat perkhidmatan mereka logo. Semua urusannya adalah berdasarkan atas talian, kini hobinya itu menjadi sumber pendapatan yang sangat besar kepadanya.
Itu merupakan beberapa kisah yang boleh dijadikan inspirasi. Sebenarnya terlalu banyak lagi kisah-kisah yang boleh dijadikan pengajaran untuk berjaya dalam hidup.
Jika anda mempunyai hobi dan kelebihan dalam memasak, teruskan, jangan berhenti. Jika anda bijak membuat rekaan grafik, menulis, menangkap gambar dan sebagainya, lakukan untuk mengubah kehidupan anda.
Yang penting, jangan berhenti mencuba. - CARI Infonet
(Sumber foto: Bizspace) |
|