Shanghai: Sebuah kajian tahunan melaporkan semalam, jumlah bilionair di China kini melebihi golongan itu di Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama dalam sejarah. Majalah ekonomi Hurun Report melaporkan, China kini mempunyai 596 bilionair - peningkatan 242 orang berbanding tahun lalu, yang jauh menjangkaui 537 bilionair Amerika direkodkan.
Pengerusi Hurun Report, Rupert Hoogewerf berkata dalam satu kenyataan: “Walaupun ekonominya lembab, golongan kaya di China nampaknya tidak terkesan, malah tahun ini nampaknya yang terbaik untuk mereka.” Menurut laporan itu, usahawan hartanah dan hiburan, Wang Jianlin mengalahkan pengasas Alibaba,
Jack Ma sebagai orang terkaya di China.
Wang - yang mengasaskan syarikat konglomerat Wanda - melihat kekayaannya meningkat lebih 50 peratus kepada AS$34.4 bilion (RM141 bilion) berikutan lonjakan harga sahamnya. Wang terkenal kerana beberapa pembelian di luar China termasuk penganjur pertandingan Ironman, kumpulan pemasaran sukan Swiss, Infront, dan pegangan dalam kelab bola sepak Sepanyol, Atletico Madrid. Dia menjadi terkenal pada 2012 selepas membeli rangkaian panggung wayang AS, AMC Entertainment, dengan harga AS$2.6 bilion (RM10.7 bilion). Sementara itu, Ma tersenarai di tempat kedua dengan kekayaan AS$22.7 bilion (RM93.2 bilion). Tempat ketiga kekal diduduki taikun minuman, Zong Qinghou dari Wahaha dengan kekayaan AS$21 bilion (RM86 bilion) manakala pengasas Tencent yang mengendalikan aplikasi popular WeChat di tempat keempat dengan AS$19 bilion (RM78 bilion).
Pemilik syarikat telefon pintar Xiaomi, Lei Jun pula tersenarai di tempat kelima selepas menggandakan kekayaannya kepada lebih AS$14 bilion (RMRM57 bilion). Tempat keenam dan ketujuh masing-masing dipegang pemilik Yan Hao syarikat pembinaan China Pacific Construction serta pengasas enjin carian Baidu, Robin Li. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 6:47 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85505#sthash.q6nNpfDZ.dpuf
|