|
TEXAS 12 Okt. - Seorang jutawan, Sharafat Khan, 69, terpaksa hidup seperti gelandangan di luar rumah agam sendiri di Texas, Amerika Syarikat (AS) selepas dihalau isterinya sejak enam bulan lepas.
Isteri ketua pengarah eksekutif sebuah syarikat perusahaan berkenaan, Shahnaz Khan,61, didakwa merampas kunci dan mengunci semua pintu selain menukar mangga kediaman mewah itu walaupun rumah agam yang berharga berjuta-juta ringgit itu milik mereka berdua.
Portal Oddity Central melaporkan, Sharafat hidup dalam serba kekurangan kerana terpaksa makan makanan dalam tin selain tidur di sekitar rumah, di atas rumput atau di bawah pokok dengan hanya berbantalkan simen dan cadar nipis.
Tidak cukup dengan itu, dia juga tidak menukar pakaian sejak enam bulan lalu sehingga menimbulkan kebimbangan jiran-jirannya berhubung kesihatannya.
Lelaki malang itu juga didakwa tidak dibenarkan menerima apa-apa bantuan termasuk makanan dari jiran atau saudara mara sebaliknya terpaksa hidup bersendirian.
Shahnaz yang merupakan seorang doktor turut berang apabila mengetahui beberapa orang jiran tampil memberinya bantuan makanan serta pakaian sehingga meletakkan sebuah papan tanda di luar rumah yang berbunyi seperti berikut;
‘Jika anda mahu memberinya makan, sila bawa dia ke rumah anda. Terima kasih atas simpati anda tetapi jangan bawa apa-apa ke rumah ini’.
Ketika ditemui wartawan baru-baru ini, Sharafat mengaku masih menyayangi isterinya dan berharap hubungan mereka akan kembali baik selain tidak sanggup keluar rumah itu walaupun saudara mara tampil membantu.
“Saya tidak mahu keluar dari rumah saya, ini bukan rumah isteri saya sahaja sebaliknya rumah saya juga. Kami bertengkar tentang isu keluarga sehingga saya dihalau keluar dari rumah.
“Shahnaz tidak mahu menceraikan saya kerana tidak mahu memberikan separuh daripada harta kami yang merupakan hak milik bersama.
Saya juga akan terus tinggal di luar rumah kami sehingga dia sendiri memanggil saya masuk, apa yang dilakukan terhadap saya adalah salah dan saya mahu dia sedar tentang itu,” katanya.
|
|