MARIAH Idrissi mencipta sejarah sendiri apabila menjadi wanita berhijab pertama tampil sebagai model dalam kempen terbaru rangkaian fesyen terkenal H&M. Gadis berusia 23 tahun ini mula menjadi tumpuan media di London selepas menjayakan kempen Close The Loop untuk jenama tersebut.
“Anda pasti mereka tahu saya berhijab?” Itu soalan pertama yang diajukan oleh Mariah apabila mendapat panggilan dari sebuah agensi untuk menjadi model kepada H&M.
“Secara jujurnya saya tidak tahu mengapa dipilih. Mungkin kerana fesyen hijap mula meningkat naik sejak kebelakangan ini dan wanita berhijab dalam dunia fesyen adalah satu pencapaian besar,” ujar Mariah kepada laman web Fusion.
Bercerita tentang proses penggambaran yang dijalankan, Mariah mendapat kerjasama baik dari seluruh produksi dan mereka sendiri sangat menghormatinya sebagai seorang Muslim. Beliau diberi bilik persalinan khas dan tidak boleh dimasuki oleh model lelaki.
“Jika jurugambar melihat sesuatu yang tidak kena pada baju saya, dia akan memanggil krew wanita untuk membetulkannya. Ini menunjukkan rasa hormat mereka kepada saya sebagai seorang muslim.
“Wanita berhijab sering diabaikan dalam dunia fesyen. Cara kami berpakaian tidak dipedulikan. Jadi ia adalah sesuatu yang menakjubkan apabila jenama pakaian terkenal seperti ini memberi perhatian kepada wanita berhijab.
Gaya Mariah untuk kempen H&M.
Gadis kacukan Maghribi dan Pakistan ini menetap di kota London dan beliau aktif dalam dunia nasyid. Selain menyampaikan lagu-lagu dakwah, beliau turut menyatakan sokongan terhadap pelarian Palestin melalui lagu-lagu yang disampaikan.
“Menjadi seorang Muslim atau tidak, saya sentiasa suka belajar tentang sejarah agama. Saya mendapat pendidikan sekolah agama selama 10 tahun dan menyanyikan lagu nasyid ketika remaja menjadikan saya dekat dengan agama.
“Elemen Islam sentiasa ada dalam diri saya,” jelas Mariah yang mula mengenakan hijab sejak berusia 17 tahun.
-manggaonline-
|