Edited by epsilonnotch at 18-5-2015 11:45 AM
Awan hitam berarak-arakan diiringi dengan dentuman guruh. Petir begitu ghairah menyambar panahannya berkali-kali pada titipan batu-batu kerikil sehingga menyebabkan dahan pohon tualang yang berdiri teguh di atas batuan kerikil itu sekah menghimpap bumi seolah-olah memurkai niat jahat lelaki terhadap kanak-kanak kecil yang terbaring lelap di atas hamparan jerami padi di dalam suatu bangsal kuda yang terbiar. Ketika hujan mula turun membasahi bumi, si lelaki mencabut bajunya sehingga menampakkan kedua-dua lengannya yang bertatu dan perutnya yang boroi serta kebasahan di hadapan manusia kecil yang masih lagi kaku. Seluar jeans dengan sebilah belati tersisip di poket seluarnya dilondehkan serta-merta daripada tubuhnya. Derak bunyi sesuatu objek besi memukul tanah tetapi oleh sebab dilindungi gugusan jerami, si lelaki tidak menghiraukannya. Baginya kanak-kanak kecil itu lebih diutamakan. Kini, tinggal boxer sahaja menutupi tubuhnya itu. Dari lirikan wajahnya, senyuman si lelaki jelas kepuasan setelah menanti berhari-hari untuk memenuhi nafsu serakahnya dan mangsanya pastinya budak perempuan di bawah usia 12 tahun. Perlahan-lahan si lelaki mencabut pakaian si anak kecil itu. Belum habis lagi bajunya dilurut, si lelaki sudah mendengus bagaikan singa kelaparan. Lidahnya terjelir keluar dengan air liur terkumpul di hujung titip lidahnya. Matanya terbelalak padat.
Si lelaki menaikkan tangan kanannya dengan tubuhnya direndahkan menandakan dia akan menodai si anak kecil itu dalam beberapa saat sahaja. Belum sempat tangannya mencecah tubuh budak itu, fikiran si lelaki terganggu sebentar apabila terdengar jeritan sedang memanggil “Mulan” berulang-ulang kali. Pandangannya terkalih ke arah pintu bangsal yang terbuka luas itu. Sementara itu, mata kanak-kanak itu terbuka dan tangannya kini menggenggam erat pangkal belati. Dengan pantas, belati dilorekkan ke arah dada lelaki tersebut. Rupanya budak itu berpura-pura pengsan dan tangan kirinya yang dilindungi jerami sudah tersedia untuk cuba mencapai belati yang terjatuh tadi di saat lelaki itu tidak menumpukan perhatiannya. Dia menunggu peluang untuk membebaskan dirinya daripada cengkaman lelaki itu walaupun hanya berbekalkan kudrat yang lemah. Persetankan semua itu. Moral harga diri yang tinggi mendukung semangat si anak kecil untuk menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa rakus sang pedofil tersebut.
Sedang pelaku pedofil itu menahan bukaan luka dengan kedua-dua tangannya sambil merintih kesakitan, budak itu bingkas bangun meluru ke arah pintu bangsal tersebut. Tetapi, dia tersadung apabila hujung siku kakinya dicapai keras si penjahat. Budak itu meronta-ronta meminta dilepaskan diselangi dengan air mata mengalir deras yang nyata takut diapa-apakan. Setelah beberapa saat bergelut, akhirnya kaki budak itu dilepaskan perlahan-lahan kerana lelaki tidak dapat lagi menahan kesakitan akibat luka yang semakin membesar dengan darah yang kerap mengalir keluar. Dia terus berlari keluar dari bangsal tersebut dengan dihujani air yang turun dari langit. Dia memasuki semak samun di belakang bangsal tersebut. Kemudian, dia mencari-cari tempat perlindungan sementara kendatipun hanya sekadar pohon renek yang rendang sahaja bagi membolehkan dirinya disamarkan daripada pandangan penjahat tersebut.
Dia ternampak budak lelaki sedang memerhati sesuatu ke dalam telaga usang yang tidak berapa jauh dari bangsal kuda itu. Dia hanya menyebut , “Mulan” , “Mulan” dan “Mulan”. Nampak sahaja kelibat kanak-kanak perempuan yang letih dan tidak bermaya itu, budak lelaki itu tidak peduli. Kepalanya menjadi kusut. Pandangannya mula samar-samar kerana jawapan mulutnya hanya menyebut , “Selamatkan kawan Mushu, ‘Mulan’…dia jatuh …perigi,”.
“Kawan Mushu di sini ,” kata budak perempuan itu meyakinkan budak lelaki itu.
“Tak…Mulan jatuh dalam.. Mushu nampak,” kata budak lelaki itu kebingungan sambil jari telunjuknya dihisap. Kepalanya digaru-garu perlahan. Dia mundar-mandir di sekeliling perigi itu. Tubuhnya tidak sangat kebasahan kerana ditutupi oleh lebaran daun pepohon pisang.
“Sejuk.” Budak lelaki tersebut mengadu kesejukan kerana badannya sudah menggigil.
Kudrat kanak-kanak perempuan itu semakin lemah. Dia pitam dan akhirnya tubuhnya rebah mencecah tanah. Budak lelaki itu tergamam dan kali ini dia menumpukan perhatiannya pada jasad yang terbujur kaku di atas tanah itu. Keresahan menghantui fikiran lembam si budak lelaki itu. Tanpa berfikir panjang, dia mengheret tubuh kanak-kanak perempuan itu ke tempat yang berselindung di sebalik semak samun pohon pisang.
Sudah reda dengan kesakitan yang dialaminya, penjahat mengorak langkah untuk mengejar mangsanya. Penjahat itu menyarungkan semula pakaian. Alang- alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Dia hanya budak kecil yang lemah dan tak berdaya, fikirnya. Maka, penjahat tersebut keluar dari bangsal dan meluru ke arah lokasi yang disangkakan mangsanya berlindung. Tanah yang dilampungi lopak air mudah menjadi lembut dan membentuk apabila dipijak dengan kaki. Oleh yang demikian, ia menyenangkan penjahat tersebut mengekori kesan tapak kaki yang ditinggalkan oleh budak perempuan itu. Tibanya dia di telaga, dia terlihat seorang budak lelaki sedang menggigil kesejukan sambil sedang menggapai sesuatu ke dalam telaga. Raut wajah budak lelaki itu tidak menampakkan dia menyembunyikan sesuatu. Tapi bajunya yang kebasahan sedikit menampakkan tubuh badan keanak-anakan menggiurkan si penjahat. Fokusnya teralih. Ternyata dirinya tidak dapat lagi menahan nafsu pedofil yang kian bergelora dalam sanubarinya itu. Kalau tak mendapat gadis cilik sebagai habuan, budak laki pun apa kurangnya. Si budak lelaki yang tidak mengerti akan niat jahat pelaku pedofil tersebut tidak respons apa-apa sebaliknya tetap memakukan pandangannya ke dalam perigi. Sehinggalah apabila penjahat tersebut mula menerpa kepadanya, budak lelaki tersebut tersentak lalu tangannya yang memegang batuan perigi tergelincir. Akibatnya. badannya hilang keseimbangan lantas dia terjatuh ke dalam telaga. Kedengaran bunyi kocakan air yang agak kuat menusuk telinga penjahat tersebut. Dia terus berubah fikiran lalu beredar meninggalkan tempat tersebut.
“Nah…Dah jumpa kawan,” kata budak lelaki itu sambil menyerahkan sesuatu objek kepada seorang budak perempuan. Imej objek berkenaan kelihatan samar-samar dan kusam kerana memorinya seakan-akan padam.
‘Alarm’ telefon pintar berdering kuat membuatkan Ain Suhana terjaga dan membukakan matanya. Air keringat jelas meretih pada dahinya. Dia bingkas bangun lalu meramas ubun-ubun kepalanya.
“Aku mimpi lagi ,” sebutnya secara bermonolog.
“Sudah lima belas tahun berlalu. Tapi tetap ia mengganggu tidurku ,” sambungnya lagi.
Ain segera memeriksa telefon pintar Sony dan mendapati beberapa panggilan tak berjawab sejak semalam. Mungkin dia terasa letih sangat. Ain lewat pulang semalam kerana diminta menyoal siasat suspek iaitu seorang pelajar yang dituduh membunuh teman wanitanya tanpa niat. Caranya yang agak tegas dan mampan menyebabkan soal siasat memakan masa berjam-jam bagi membuktikan suspek tidak cuba menipu. Ain baru sahaja dilantik sebagai pegawai polis senior di bahagian jenayah polis Bukit Aman yang melibatkan kes-kes pembunuhan. Tentu sekali dengan kesungguhan dan kepintaran yang dimilikinya membolehkan Ain dinaikkan pangkat dengan cepat jika dibandingkan usia muda yang dianggap mentah lagi bagi seorang polis berjawatan sebegitu. Ain baru berusia 26 tahun pada tahun ini.
Ain segera menekan ikon panggilan terhadap rakannya, Khalid yang lebih tua tiga tahun daripadanya. Khalid terus menjawab.
“Khalid, kenapa kau telefon aku semalam?”
“Aku baru dapat informasi daripada ketua kita yang mana permohonan kau untuk diberi kebenaran melawat telah diluluskan. ‘Green Light’ , katanya. Kau boleh lawat hari ini juga.”
“Tapi ada syarat yang dipinta banduan itu ,” sambungnya lagi.
“Apa syaratnya, Khalid ? ”
“Dia tak kasi pihak penjara merekod perbualan korang samaada melalui video kamera mahupun rakaman audio , ” jelas Khalid lagi.
“Baiklah. Aku hanya mahu menjumpai penjahat buas itu sebelum dia dibebaskan minggu depan”. Ain sedikit geram tetapi cuba bersabar kerana dia tidak mahu Khalid tahu menahu hubungannya dengan banduan tersebut. Khalid hanya mengiyakan sahaja.
|