Ketuanya, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, poster itu mencetuskan tanda tanya kerana pertikaian yang wujud antara Guan Eng dengan Pas berhubung pelaksanaan hukum hudud.
Malah, menurut beliau, ahli Pas berasa keliru kerana sebelum ini DAP telah memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi yang turut dikritik sebagai tidak jujur.
“Itu jadi masalah kerana mereka (DAP) telah putuskan kerjasama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Semalam, calon PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika melancarkan bilik gerakan jentera partinya turut memperkenalkan poster gergasi itu yang memaparkan wajah Abdul Hadi bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Guan Eng.
Dalam majlis itu, Pas diwakili Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu dan DAP diwakili Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.
Ekoran itu, terdapat pihak mendakwa poster berkenaan sebagai taktik terdesak PKR untuk mera-ih sokongan ahli Pas di Permatang Pauh selepas tercetus krisis melibatkan kedua-dua parti.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusni berkata, poster berkenaan tidak logik untuk terus digunakan PKR sebagai modal kempen.
“Saya hendak tanya, selepas DAP putuskan hubungan dengan Abdul Hadi, bagaimana PKR boleh berbuat demikian dengan poster itu,” katanya.
Tambah beliau, PKR perlu menjelaskan bagaimana Guan Eng boleh ‘duduk’ bersama Abdul Hadi dalam poster berkenaan.