SELEPAS gagal dalam beberapa siri percintaan termasuk bersama aktres jelita Erra Fazira dan Neelofa, akhirnya Hans Isaac membuka hatinya buat seseorang.
Setelah sekian lama berdiam diri, pelakon dan pengarah terkenal ini mengakui hatinya kini sudah dimiliki.
Bagaimanapun, pelakon Baik Punya Cilok ini lebih selesa untuk merahsiakan gerangan gadis yang berjaya mencuri hatinya kepada khalayak umum.
“Saya sudah berpunya cuma kali ini, saya ambil pendirian untuk merahsiakan siapakah wanita itu. Sebelum ini saya lebih terbuka untuk berkongsi kisah cinta tapi penyudahnya tidak mengembirakan.
“Jadi saya mohon bagilah ruang untuk saya dan si dia mengenali antara satu sama lain. Saya lebih selesa untuk merahsiakannya,” kata Hans.
Mengulas mengenai pertemuanya bersama Neelofa dalam rancangan Meletop baru-baru ini, aktor kacak itu menjelaskan mereka tiada masalah untuk berjumpa dan masih berkawan biasa.
“Sebenarnya saya dan Lofa tiada apa-apa masalah pun, saya berusaha mengawal pandangan mata dengan Lofa kerana tak mahu tergelak secara spontan, sebelum ini pun saya ada jumpa dia jadi tak mahulah ‘moments’ tersebut terbawa-bawa ke set.
“Sekali lagi saya tegaskan, saya dan Lofa tiada apa-apa isu berbangkit. Kami berkawan biasa kerana industri kita ini kecil sahaja, pusing-pusing pun akan ketemu jua, jadi bersikaplah positif untuk segala hal,” kata Hans.
|