View: 1225|Reply: 0
|
[Tempatan]
82,582 produk turun harga selama 4 bulan
[Copy link]
|
|
KUALA LUMPUR 25 Mac – Seba­nyak 82,582 produk daripada 16 buah syarikat yang mengambil bahagian dalam Kempen Penurunan Harga 2015 mengalami penurunan harga sehingga 70 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, produk-produk yang tersenarai dalam kempen selama empat bulan bermula 1 Mac lalu itu boleh didapati di 1,036 cawangan pasar raya besar, pasar raya dan pasar mini di seluruh negara.
“Adalah menjadi harapan kerajaan kempen ini dapat meringankan beban rakyat terutama mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.
“Kementerian juga menyeru agar syarikat-syarikat lain termasuk restoran, peniaga dan pihak-pihak terlibat dapat menawarkan harga barangan secara berpatutan dan tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan secara berlebihan dan tidak munasabah,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Zaim Abu Hasan (BN-Bukit Gantang) yang ingin tahu mekanisme digunakan kementerian untuk menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak.
Selain kempen penurunan harga barang, Ahmad Bashah berkata, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup pada 2014 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menangani isu-isu kos sara hidup dan harga barang secara bersepadu dan berterusan.
Katanya, kementerian juga mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan pengilang, pembekal, pemborong, peruncit dan persatuan pada 10 Februari lalu dan mereka bersetuju untuk menurunkan harga barangan berikutan penurunan harga minyak di pasaran.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|